Pegawai farmasi ditahan hina Nabi di Facebook

Pegawai farmasi ditahan hina Nabi di Facebook

RAZARUDIN HUSAIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seorang pegawai farmasi ditahan selepas didakwa memuat naik komen berunsur penghinaan terhadap Nabi Muhammad di laman sosial Facebook.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang pengadu yang mendakwa terbaca komen menghina tersebut pada 18 Mac lalu.

Katanya, pengadu mengatakan komen tersebut dibuat individu, Khor Soon Keat didakwa menghina Nabi Muhammad.

“Malah, kenyataan itu turut disokong seorang lagi pengguna Facebook, Chelvi Kolan. Kedua-dua komen itu adalah respon kepada kenyataan awal oleh pengguna bernama Zam Kai.

“Susulan itu, kita telah menahan seorang lelaki berusia 29 tahun bagi membantu siasatan,” katanya kepada Utusan Malaysia hari ini. 

Menurutnya, suspek direman dua hari hingga esok. 

“Siasatan di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya. 

Tegas Razarudin, PDRM memandang serius perbuatan menghina mana-mana agama di negara ini kerana ia boleh menjejaskan keharmonian dan ketenteraman awam.

Media semalam melaporkan, Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang menegaskan, tindakan menghina mana-mana agama bukan sahaja mencabuli prinsip keharmonian dan perpaduan negara tetapi boleh mengundang akibat yang sangat serius kepada keamanan serta ketenteraman awam.

“Saya berharap agar Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia dapat menyiasat perkara ini serta mengambil tindakan yang tegas dengan segera,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN