KUALA LUMPUR: Majlis pecah tanah pembinaan Masjid Madani di tanah wakaf milik Syarikat tekstil, Jakel Trading Sdn. Bhd. (Jakel) di Jalan Masjid India, di sini, akan diteruskan pada Khamis ini.
Mengesahkan perkara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau sendiri akan hadir ke tapak tersebut bagi meletakkan batu asas sebagai tanda pembinaan Masjid Madani di tanah wakaf berkenaan.
“Masjid di kawasan berdekatan kini sudah sesak dan perlu adanya tempat baharu. Jadi sebab itu saya akan teruskan meletakkan batu asas masjid pada 27 hari bulan ini (Khamis),” katanya berucap pada Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-218 di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur (Pulapol) di sini, hari ini.
Turut hadir, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil; Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.
Polemik isu pembinaan Masjid Madani menjadi hangat apabila pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Lawyers for Liberty (LFL) dan bekas Presiden Majlis Peguam Malaysia, Datuk S. Ambiga mempertikaikan persetujuan Perdana Menteri untuk merasmikan pembinaan masjid tersebut.
Hal itu disebabkan tanpa itu dikatakan masih menjadi pertikaian susulan kewujudan Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman yang didakwa sudah berusia 130 tahun.
Anwar berkata, beliau sudah mengarahkan rundingan secara baik dilaksanakan bersama ahli jawatankuasa Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman bagi menyelesaikan isu tersebut.
“Bayangkan, Menteri (turun) runding dua tiga kali, Datuk Bandar pergi ke tempat itu… cukuplah,” katanya.
Perdana Menteri berkata, dalam polemik yang timbul ini, beliau mengambil pendekatan bersabar iaitu dengan meminta masalah diselesaikan dengan baik termasuk memberi ganti rugi dan diberikan tempat baharu atas ihsan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Namun katanya, perkara itu tidak boleh dijadikan amalan memandangkan negara ini berdiri tegak di atas keluhuran undang-undang.
“Biarlah soal teknikal masjid (berusia) 50 tahun atau kuil (berusia) 100 tahun, tak mengapa, jangan robohkan (tetapi) pindahkan dengan baik.
“Tetapi tak semestinya setiap kuil tak mendapat permit tanah harus diberikan tanah ganti oleh kerajaan. Sekarang ada 130 kuil tak ada permit di Kuala Lumpur, (lebih) 300 di Kedah dan entah berapa ratus di Perak. Tak boleh begitu,” katanya.
Perdana Menteri juga menegaskan bahawa tindakannya tidak sama sekali bermaksud mahu menghancurkan semua penganut agama hindu bahkan ia menyalahi ajaran Islam sekiranya seseorang muslim memusuhi atau merosakkan harta benda agama lain.
“Tetapi jangan anggap bahawa kita (umat Islam) ini lemah. Ada masjid di Lahad Datu dirobohkan kerana tak ikut aturan, surau di Perak dirobohkan kerana enggan (patuh) majlis agama dan di Sentul masjid dirobohkan,” katanya. – UTUSAN