PDRM nafi tidak siasat penipuan pelaburan TriumphFX

PDRM nafi tidak siasat penipuan pelaburan TriumphFX

PENGARAH Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf bercakap ketika sidang media mingguan di Menara KPJ semalam.-UTUSAN/FIRDAUS M.JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menafikan dakwaan bahawa pihak berkuasa itu tidak menjalankan siasatan terhadap penipuan pelaburan mata wang asing (Forex), TriumphFX.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, sebaliknya polis menahan lima individu berkaitan kes terbabit yang disyaki pemilik keldai akaun berusia lingkungan 30-an tersebut pada 2024 dan awal tahun ini. 

“Pasukan penyiasat sedang mengesan suspek utama kes itu. 

“Siasatan sedang dilengkapkan, justeru, tidak timbul isu bahawa pihak polis tidak menyiasat skim pelaburan tersebut,” katanya dalam sidang akhbar di JSJK, Menara KPJ di sini hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan seramai 77 individu mendakwa menjadi mangsa penipuan sebuah syarikat pelaburan yang dipercayai didalangi rakyat tempatan dengan menggunakan kira-kira 30 syarikat berperanan sebagai ‘local depositor’.

Mangsa mendakwa, syarikat itu berdaftar di Seychelles, Afrika, mencari mangsa melalui ejen dan wakil-wakil syarikat dan membuat penerangan secara dalam talian dengan menjanjikan pulangan sebanyak tujuh peratus sebulan.

Ramli berkata, pihaknya setakat ini menerima 80 laporan membabitkan kerugian RM24,813,086.47 berkaitan penipuan pelaburan tersebut

Katanya, siasatan setakat ini mendedahkan skim pelaburan itu telah bermula sekitar tahun 2019 lagi dengan menjanjikan keuntungan sebanyak tujuh peratus sebulan.

“Pelabur yang berminat dikehendaki memuat turun aplikasi pelaburan yang ditetapkan dan mereka boleh memantau serta melihat prestasi pelaburan tersebut. 

“Masalah mula timbul apabila syarikat tersebut telah menukar pelaburan mereka kepada pelaburan kripto tanpa persetujuan pihak pelabur,” katanya.

Menurutnya, pelabur juga hanya dapat melihat paparan keuntungan daripada aplikasi tanpa boleh mengeluarkan wang tersebut.

“Siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan orang ramai dinasihatkan melakukan semakan sewajarnya sebelum melabur.

“Para pelabur perlu memastikan syarikat tersebut dilesenkan oleh agensi kerajaan yang berkaitan seperti Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti sebelum membuat pembayaran pertama bagi memastikan pelaburan anda selamat dan dilindungi di bawah undang-undang di negara ini,” ujarnya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya