GEORGE TOWN : “Duduk di sini (penjara) walaupun tak sampai empat bulan, macam-macam yang saya belajar tentang kehidupan. Alhamdulillah, Allah bagi peluang untuk saya bebas awal dan sambut raya dengan keluarga.”
Itu luahan seorang bekas pekerja kilang yang hanya ingin dikenali sebagai Boy, 45, ketika ditemui semasa Program Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) Ihsan Madani: ‘Kepulangan Yang Dinanti’ di Penjara Reman Pulau Pinang di sini, hari ini.
Bapa kepada empat anak itu berkata, dia pada mulanya tidak menyangka namanya tersenarai dalam program tersebut kerana berdepan hukuman penjara selama setahun atas kesalahan di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan.
“Saya rancang untuk cari kerja dekat-dekat dulu selepas ini memandangkan di rumah saya ketika ini ada tiga orang sakit termasuk ibu saya, anak dan isteri yang kini berkerusi roda selepas mengalami masalah saraf.
“Insya-Allah, saya benar-benar insaf dan fokus saya kini ialah untuk memperbaiki kesalahan saya dan membahagiakan keluarga saya,” katanya yang serik dengan pengalaman di sebalik ‘tirai besi’ itu walaupun untuk tempoh yang singkat.
Bagi Fendi, 60, Aidilfitri kali ini dianggap sebagai permulaan kepada satu ‘penghijrahan’ yang besar dalam hidupnya.

Dia yang bergelumang selama hampir 40 tahun dengan najis dadah berjanji untuk berubah demi ibunya yang kini berusia 77 tahun.
“Semua orang suruh saya berubah sebab dah lama saya macam ini. Jadi, sebak jugalah (apabila dibebaskan lebih awal). Apa yang penting, saya tak mahu tengok ibu saya bersedih lagi kerana saya.
“Umur saya pun sudah lanjut dan dan mungkin ini (hari raya) adalah masa yang terbaik untuk saya (berubah),” kata Fendi.
Sementara itu, Pengarah Penjara Pulau Pinang, Abd. Rauf Lang Pasih berkata, seramai 32 banduan dari Pulau Pinang terpilih untuk mengikuti program PBSL Ihsan Madani sempena Aidilfitri kali ini.
Katanya, daripada jumlah itu, seramai 27 banduan merupakan penghuni Penjara Reman Pulau Pinang manakala selebihnya dari Penjara Seberang Perai.
“Kebanyakan yang terpilih untuk program ini ialah banduan yang menjalani hukuman penjara antara enam bulan hingga tiga tahun.
“Untuk Pulau Pinang, rata-rata banduan terpilih hanya menjalani hukuman penjara selama enam bulan sahaja atau kurang daripada tempoh itu,” katanya yang berharap agar semua banduan yang menjalani program tersebut dapat memulakan kehidupan baharu selepas ini.-UTUSAN