KOTA KINABALU: Parti Bersatu Sabah (PBS) mahu merampas semula kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melalap yang merupakan kerusi tradisi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah).
Kerusi di kawasan Kadazan Dusun dan Murut (KDM) itu jatuh ke tangan Parti Warisan (Warisan) pada PRN 2020 sebelum penyandangnya Datuk Peter Anthony bertindak keluar parti dan menubuhkan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) pada Februari 2022.
Pemangku Presiden PBS, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam berkata, pihaknya berhasrat merampas kerusi itu namun perkara itu perlu dibincangkan dengan rakan-rakan dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
“Kita akan mengekalkan tujuh kerusi (DUN) sedia ada dan kalau boleh, kerusi Melalap pun kita mahu ambil semula.
“Tetapi sebagai rakan kongsi yang baik dalam GRS, kita perlu bincang perkara ini kerana kita hanya mahu calon yang boleh menang,” katanya ketika dalam majlis sambutan ulang tahun ke-40 PBS di sini, semalam.
Ditanya adakah hukuman penjara terhadap Peter selaku penyandang kerusi DUN Melalap akan memberi kelebihan kepada PBS, Joachim berkata, beliau menyerahkan sepenuh kepercayaan kepada rakyat untuk memutuskan masa depan mereka.
“Saya percaya rakyat tahu apa yang diperjuangkan oleh PBS. PBS telah berjuang mengenai hak-hak Sabah sejak sekian lama jadi, diharap rakyat nampak perjuangan berkenaan,”,katanya.
Mengulas lanjut katanya, PBS mempunyai banyak permintaan untuk bertanding di beberapa kawasan dan mereka telah menerima lebih daripada enam senarai calon.
“Kita kena bincang dulu sebab ada banyak permintaan. Kita punya senarai permintaan lebih daripada enam tapi, kita kena bincang. Kita kena bincang sebagai rakan kongsi yang mempunyai hak sama rata,” katanya.
Kerusi DUN Melalap yang pernah menjadi kubu kuat PBS ketika itu parti komponen Barisan Nasional (BN) selama 21 tahun berjaya dirampas oleh Warisan selepas penyandangnya, Datuk Radin Maleh tewas kepada Peter Anthony. Sebelum itu, Radin berjaya mengekalkan kemenangan di DUN Melalap sejak 1999 sehingga 2020. – UTUSAN