KANGAR: Para peniaga makanan khususnya diingatkan supaya tidak mengambil kesempatan ‘mengangkut’ beras putih tempatan (BPT) bersubsidi dengan pembelian berulang kali bagi memastikan bekalan berkenaan benar-benar dinikmati oleh golongan yang benar-benar layak.
Pada masa ini, pemerhatian Utusan Malaysia mendapati, beras tempatan bersubsidi berharga RM26 bagi berat 10 kilogram (kg) itu dibenarkan dibeli dua kampit untuk seorang mewakili keluarga, namun tidak ada mekanisme bagi mengetahui mereka benar-benar susah atau dalam golongan B40.
Ia sekali gus membuka ruang kepada sesiapa sahaja membeli beras berkenaan sedangkan ia disasarkan kepada golongan miskin.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Razali Saad berkata, bagi mengelak perkara tersebut berlaku, Kawal Selia Padi dan Beras juga akan memantau dan mencari mekanisme terbaik bagi memastikan BPT itu tidak dimonopoli oleh golongan peniaga.
Katanya, beras subsidi itu sepatutnya untuk golongan yang memerlukan dan diharapkan tidak ada peniaga mengambil kesempatan membeli beras berkenaan untuk tujuan perniagaan berasaskan makanan.
“Untuk berniaga kedai makan atau sebagainya, sebaik-baiknya beli beras yang mahal sikit. Beras tempatan subsidi ini disasarkan kepada golongan miskin atau yang memerlukan sahaja.
“Setakat ini, pihak kawal selia akan bantu pantau dan jika tidak dapat laksana, maka satu kumpulan terdiri daripada semua agensi penguatkuasaan bawah bidang pertanian akan bergabung untuk atasi isu ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Kelmarin Utusan Malaysia melaporkan, BPT bersubsidi mula diedarkan di beberapa negeri selepas Perdana Menteri mengarahkan penyelesaian segera terhadap masalah itu.
Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) untuk menyegerakan usaha pemulihan bekalan beras putih tempatan yang sedang menerima perhatian rakyat.
Di Perlis, sebanyak 30 tan metrik atau 3,000 kampit beras putih tempatan bersubsidi pada harga RM26 bagi pek 10 kg mula dibekalkan di negeri ini.
Beras tersebut yang mula dibekalkan bermula Sabtu lalu diagihkan kepada kira-kira 10 kedai sekitar Perlis di kawasan Parlimen Arau, Kangar dan Padang Besar.
Sebelum ini, kerajaan mengumumkan 24 juta kampit beras untuk 400,000 keluarga miskin yang dijual mulai 1 Mac lalu.
Razali berkata, orang ramai tidak perlu membuat pembelian panik dan menghadkan satu keluarga hanya dua kampit atau sebaik-baiknya sekampit sahaja bagi membolehkan lebih ramai dalam kalangan mereka memerlukan mendapatkan BPT ini.
“Sekampit ini, selalu boleh tahan dalam 10 hari dengan sebulan sekitar tiga kampit sahaja. Bekalan BPT ini akan dibawa masuk dari masa ke semasa bergantung kepada permintaan dan keperluan pengguna di Perlis.
“Sekarang orang ramai sudah mula tahu keberadaan beras tempatan ini dan saja jangka dalam tempoh seminggu sahaja, 30 tan metrik beras yang dibekalkan di negeri ini akan habis terjual. Selepas itu, ia akan masuk lagi bekalan,” katanya.
Sementara itu, seorang pengguna, Lyana Nasir,40, berkata, selepas lebih dua tahun, bekalan beras tempatan akhirnya kembali berada di pasaran sejak kelmarin.
Katanya, dia membeli dua kampit beras tempatan ini yang dibenarkan bagi satu keluarga sekali gus menjimatkan perbelanjaan berbanding beras import yang lebih mahal.
“Satu keluarga hanya dibenarkan beli dua kampit sahaja bagi sekali pembelian. Saya harap bekalan beras tempatan ini akan terus berada di pasaran selepas ini,” katanya.-UTUSAN