Pasar terapung ‘nyawa’ Kepulauan Tumpat

Pasar terapung ‘nyawa’ Kepulauan Tumpat

PEMBUKAAN pasar terapung menjadikan Kepulauan Tumpat bernyawa.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TUMPAT: Kepulauan Tumpat me­rupakan sebuah kawasan per­kampungan dikelilingi oleh Sungai Kelantan yang rata-rata dihuni oleh golongan nelayan.

Kawasan yang dahulunya terpencil, kini bertukar wajah menjadi lokasi tumpuan pelancong untuk ke pasar terapung di Pulau Suri yang dibuka pada 2016, manakala Pasar Terapung Sri Tanjung pada 2022.

Pembukaan pasar terapung ini menjadikan lokasi yang sebelum ini sunyi sepi, bagaikan bernyawa apabila puluhan bot keluar masuk membawa orang luar untuk berkunjung ke situ.

Kedua-dua pasar ini bukan sahaja memacu pertumbuhan ekonomi setempat malah memberi pilihan kepada pengunjung yang dahagakan pengalaman dan tarikan baharu di situ.

Tarikan pelancongan ke lokasi berkenaan merekodkan anggaran RM4 juta wang tunai ma­suk ke Kepulauan Tumpat dalam sebulan. Anggaran itu mengambil kira rekod kedatangan pengunjung 8,000 dalam tempoh dua hari iaitu pada Jumaat dan Sabtu dengan andaian setiap individu berbelanja RM50 di pasar berkenaan.

Pemilik tapak Pasar Terapung Sri Tanjung, Saidi Mamat@Ghani, 50 berkata, ada lebih 70 pe­ngusaha bot tambang ber­operasi dari enam buah jeti untuk membawa pengunjung ke pasar terapung.

Saidi menawarkan 43 gerai yang menjual pelbagai menu makanan, kuih-muih tradisio­nal Kelantan termasuk hasil krafta­ngan, batik dan minyak wangi keluaran rakyat tempatan.

Hanya 14 premis perniagaan menjual makanan di atas bot yang rata-rata peniaganya adalah wanita.

“Pasar terapung menjanjikan kelainan apabila dilengkapi pelbagai kemudahan seperti dewan, tapak perkhemahan, bilik penginapan, restoran, kayak dan bot, yang mana kemudahan itu membolehkan pengunjung merasai kehidupan sebagai penduduk pulau di Kepulauan Tumpat.

“Selain pemandangan menarik, pengunjung dapat melihat sendiri kehidupan masyarakat di Kepulauan Tumpat yang bergantung sepenuhnya kepada penggunaan bot galah untuk ke kawasan daratan,” katanya.

Saidi mengakui produk eko-pelancongan itu memberikan impak cukup besar kepada penduduk di Kepulauan Tumpat apabila menjadi pemangkin perubahan ekonomi penduduk.

“Rata-rata penduduk be­kerja sebagai nelayan dan buruh kampung pada hari biasa, sementara wanita suri rumah yang menjadi ‘nadi’ menggerakan pasar terapung ini,” katanya.

SEORANG peniaga menunjukkan makanan yang dijual di di Pasar Terapung Sri Tanjung, Kepulauan Tumpat, Kelantan. – MINGGUAN/KAMARUL BISMI KAMARULZAMAN

Pengurus Pasar Terapung Pulau Suri Rosdi Ghani, berkata, status halal makanan yang dijual, memberikan kelebihan besar buat peniaga malah arus sungai yang mengalir dan bukan bersifat ‘mati’ memberikan ke­lebihan kepada Pulau Suri apabila pengunjung dapat menikmati kesegaran suasana.

“Harga makan kami tawarkan tidak terlalu tinggi selain itu kos untuk ke sini (Pulau Suri) lebih jimat,” katanya.

SUSURI SUNGAI KELANTAN

Untuk ke Pasar Terapung Sri Tanjung dan Pulau Suri yang beroperasi pada Jumaat dan Sabtu, pengunjung perlu menaiki bot menelusuri Sungai Kelantan antara lima hingga 10 minit menerusi jeti disediakan di Tumpat dan Kota Bharu.

Sepanjang perjalanan itu, pengunjung dapat melihat secara lebih dekat aktiviti dan gaya hidup masyarakat di kawasan Kepulauan Tumpat dan situasi menjadi lebih menarik pada hari Jumaat apabila penduduk di situ mengemudi sendiri bot mereka untuk ke masjid.

Selain makan tradisi penduduk di Kepulauan Tumpat iaitu kerabu nipah, lokan bakar, aneka pilihan menu tempatan membuatkan pengunjung rambang mata untuk membuat pilihan.

Persembahan tradisional se­perti dikir barat, aktiviti men­canting batik, permainan tradisi dan sebagainya turut disediakan, sekali gus memberi nilai tambah yang mesti dibanggakan oleh penduduk setempat.

PENGALAMAN BAHARU

Pengunjung, Siti Zakiah Abdullah, 46, yang sudah berkunjung ke pasar terapung di Pulau Suri dan Pasar Terapung Sri Tanjung mengakui lokasi berkenaan memberikan pengalaman baharu buat dirinya dan keluarga.

Katanya pengalaman naik bot sambil menyelusuri Sungai Kelantan cukup menarik malah aspek keselamatan tidak perlu dirisaukan berikutan pengendali bot menyediakan jaket ke­selamatan.

“Sebelum ini saya tengok pasar terapung menerusi video dan gambar sahaja. Bila berpeluang melihatnya depan mata, nyata lokasi ini sangat menarik dan berharap kerajaan dapat mempromosikan lokasi ini supaya ia terus menjadi tumpuan pelancongan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya