PETALING JAYA: Aktiviti pasar malam di lorong Tuanku Abdul Rahman (TAR) dipindahkan susulan pembukaan Bazar Aidilfitri 2025 yang beroperasi mulai 1 hingga 29 Mac ini.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menerusi hantaran di Facebook memaklumkan, operasi pasar malam yang beroperasi pada setiap Sabtu itu akan bermula dari persimpangan Jalan Esfahan sehingga ke persimpangan Jalan Melayu sepanjang tempoh bazar berkenaan berlangsung.
Sehubungan itu, sebahagian Jalan TAR akan ditutup bagi memberi laluan kepada operasi pasar malam yang berlangsung pada 1, 8, 15, 22 dan 29 Mac 2025 dengan penutupan berkuat kuasa dari pukul 12.00 tengah hari hingga 12.00 malam.
Orang ramai juga dinasihatkan supaya merancang perjalanan lebih awal bagi mengelakkan kesesakan.
“Penggunaan pengangkutan awam juga amat digalakkan untuk memudahkan pergerakan
dan mengurangkan kesesakan lalu lintas. Kerjasama semua amat dihargai bagi memastikan kelancaran operasi bazar dan pasar malam sepanjang tempoh ini,” jelas hantaran itu.