Pas tiada peluang di Ayer Kuning, usah buang masa - Mahfuz

Pas tiada peluang di Ayer Kuning, usah buang masa – Mahfuz

MAHFUZ Omar menyampaikan cenderamata kepada Presiden KMEK, M. Hifzuddin Ikhsan sambil disaksikan Timbalan Pengarah LPP Kedah, Nor Rahila Mohd Yusof dan Setiausaha KMEK, Abd Hadi Che Awang pada Majlis Iftar Pengerusi LPP Bersama KMEK di Alor Setar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Pas perlu mempertimbangkan semula keputusan mereka untuk bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Ayer Kuning, 26 April ini kerana mempunyai peluang tipis untuk memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) itu.

Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar berkata, beliau percaya peluang Pas untuk memenangi kerusi itu sukar setelah melihat kepada rekod sokongan pengundi Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.

“Saya percaya Pas tidak ada ruang dan peluang di Ayer Kuning. Jadi saya nasihatkan mereka daripada membuang masa dan waktu menghabiskan wang ringgit dan sebagainya adalah lebih baik jika mereka tidak meletakkan calon.

“Ia untuk memberi laluan kepada BN demi memastikan penghargaan kepada penyandangnya,” katanya yang juga Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) pada Majlis Iftar Bersama Kelab Media Elit Kedah (KMEK) di sini semalam.

Kekosongan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning berlaku susulan kematian penyandangnya Ishsam Shahruddin, 59, selepas rebah ketika menyertai perlawanan bola sepak di Pulau Pinang pada 22 Februari lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) minggu lepas mengumumkan tarikh bagi penamaan calon PRK berkenaan akan dilakukan pada 12 April, diikuti undi awal (22 April) dan mengundi (26 April) yang melibatkan 31,897 pengundi berdaftar.

Mengulas lanjut kata Mahfuz, Amanah juga bersedia memberi laluan kepada BN untuk bertanding demi perpaduan dalam gabungan tersebut.

“Bagi pihak perpaduan kita kekalkan kerusi itu kepada BN. Walaupun PH dulu daripada Amanah pernah bertanding kerusi DUN itu tetapi kita berikan kepada BN.

“Itu kerana ia kerusi yang dimenangi oleh BN sebelum ini dan kita percaya gabungan dua undi itu 9,000 daripada BN dan 6,000 daripada PH akan lebih kuat lagi lah sokongan pengundi selepas ini,” jelasnya.

Namun kata Mahfuz, pihaknya tidak menolak kemungkinan untuk mengkaji semula pembahagian kerusi tersebut dalam pilihan raya umum akan datang.

Beliau bagaimanapun menafikan berlaku sebarang konflik antara BN dan PH ekoran pembahagian kerusi tersebut dalam PRK itu terutama melibatkan kepimpinan sayapnya.

“Tidak ada konflik walaupun kerusi itu juga milik Amanah. Apabila PRU nanti kita akan bincang balik kerusi mana yang kena tukar itu boleh dilakukan. Sekarang kita kekalkan BN. Tak ada apa masalah di Tapah, Pemuda Amanah dan Pemuda UMNO tiada masalah,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya