KUALA NERUS: Pas masih dalam peringkat tapisan senarai nama-nama calon yang akan dipilih mewakili Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning pada 26 April ini.
Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, proses tersebut mengambil masa kira-kira seminggu lagi sebelum membuat keputusan akhir calon yang bakal dipilih.
Katanya, senarai nama-nama calon yang dihantar untuk dipertimbang itu melalui proses biasa termasuk mendapatkan pandangan akar umbi dan jentera dari bawah iaitu peringkat cawangan, kawasan serta negeri.
“(Pas) belum buat keputusan akhir lagi (calon PRK Ayer Kuning), insya-Allah dalam tempoh tidak kurang seminggu lagi, kita akan buat keputusan, jadi sabarlah menunggu,” katanya selepas merasmikan penutup Program Pelita Raya Terengganu 2025 di Kompleks Sukan Negeri Terengganu, Gong Badak, di sini, malam tadi.
PRK DUN Ayer Kuning diadakan susulan kematian wakil rakyat kawasan itu, Ishsam Shahrudddin, 59, yang juga Ketua UMNO Bahagian Tapah akibat serangan jantung ketika menyertai kejohanan bola sepak di Pulau Pinang pada 22 Februari lalu. – UTUSAN