TAPAH: Pas sudah mengenal pasti tiga nama berpotensi sebagai calon pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Parlimen Tapah, Abd. Muhaimin Malek berkata, mereka merupakan anak tempatan yang berumur bawah 50 tahun.
Beliau juga Yang Dipertua Pas Tapah berkata, namun keputusan muktamad calon akan ditentukan oleh PN dan Pas Pusat.
“Kita hanya memberikan senarai nama namun keputusan muktamad tetaplah kepada PN dan Pas Pusat. Calon-calon itu merupakan anak tempatan berumur kurang 50 tahun.
“Ada dalam kalangan calon tempatan ini merupakan Pemuda Pas Tapah. (Calon) Lebih baik orang tempatan kerana mereka lebih memahami keperluan masyarakat di Ayer Kuning,” katanya di sini semalam.
Katanya, PN telah mengaktifkan pusat gerakan dan cawangan berhampiran 20 Pusat Daerah Mengundi (PDM) di DUN Ayer Kuning.
Beliau berkata, pihaknya menyantuni segenap lapisan masyarakat di Ayer Kuning tanpa menunggu tarikh mengundi yang akan diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
“Potensi menang tetap ada walaupun sebelum ini kita tewas di Ayer Kuning. Kita ambil semangat PRK Sungai Bakap, PN mencipta kemenangan di kawasan majoriti Melayu,” katanya.
Sebelum ini, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan gabungan itu akan meletakkan calon daripada Pas.
Pas sudah bertanding di kerusi tersebut sebanyak lima kali sejak Pilihan Raya Umum 2008, namun semua berakhir dengan kekalahan.