TAPAH: Pas sudah mengenal pasti tiga nama yang berpotensi sebagai calon pada Pilihan Raya Kecil (PKR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Parlimen Tapah, Abd. Muhaimin Malek berkata, mereka merupakan anak tempatan yang berumur bawah 50 tahun.
Beliau juga Yang Dipertua Pas Tapah berkata, namun keputusan muktamad calon yang akan dipilih ditentukan oleh PN dan Pas Pusat.
“Kita hanya memberikan senarai nama namun keputusan muktamad tetaplah kepada PN dan Pas Pusat. Calon-calon itu merupakan anak tempatan berumur kurang 50 tahun.
“Ada dalam kalangan calon tempatan ini merupakan Pemuda Pas Tapah. (Calon) Lebih baik orang tempatan kerana mereka lebih memahami keperluan masyarakat di Ayer Kuning,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, PN telah mengaktifkan pusat gerakan dan cawangan berhampiran 20 Pusat Daerah Mengundi (PDM) di DUN Ayer Kuning.
Beliau berkata, pihaknya menyantuni segenap lapisan masyarakat di Ayer Kuning tanpa menunggu tarikh mengundi yang akan diumumkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) nanti.
“Potensi untuk menang tetap ada walaupun sebelum ini kita tewas di Ayer Kuning. Kita ambil semangat daripada PRK Sungai Bakap yang mana PN mencipta kemenangan di kawasan majoriti Melayu,” katanya.
PRK DUN Ayer Kuning akan diadakan berikutan kematian penyandangnya, Ishsam Shahruddin pada 22 Februari lalu apabila tidak sedarkan diri selepas menyertai perlawanan bola sepak.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Allahyarham memenangi kerusi berkenaan dengan majoriti 2,213 undi dalam saingan lima penjuru.
Semalam, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan gabungan itu akan meletakkan calon daripada Pas pada PRK DUN Ayer Kuning.
Pas sudah bertanding di kerusi tersebut sebanyak lima kali sejak Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12) pada 2008, namun semuanya berakhir dengan kekalahan.
Suruhanjaya Pilihan Raya dilaporkan akan mengadakan mesyuarat khas pada 7 Mac ini bagi menentukan tarikh PRK DUN Ayer Kuning.