PETALING JAYA: Kementerian Kewangan merekodkan baki Wang Tak Dituntut adalah sebanyak RM12.7 bilion sehingga 31 Januari lalu.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, pihak kerajaan mengambil beberapa langkah untuk memaklumkan mengenai wang ini kepada pemilik atau waris mereka.
“Antaranya termasuk kempen kesedaran yang dilaksanakan oleh Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM) menerusi taklimat dan reruai di program-program kerajaan dan swasta.
“Sehingga tahun lalu, sebanyak 158 reruai dan program kesedaran diadakan di seluruh negara untuk memaklumkan orang ramai tentang wang berkenaan dan kaedah menuntutnya,” katanya menerusi jawapan bertulis di Dewan Rakyat, semalam.
Beliau menjawab soalan S. Kesavan (PH-Sungai Siput) mengenai jumlah terkini wang tidak dituntut dan langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan untuk memaklumkan wang tersebut kepada pemilik atau waris mereka.
Selain itu, Amir Hamzah berkata, JANM melaksanakan taklimat secara alam talian, perluasan perkhidmatan kaunter semakan dan bayaran balik wang berkenaan.
“Hebahan berkala melalui saluran televisyen juga antara usaha untuk menyebarluaskan maklumat kepada rakyat,” katanya.
Sehingga Oktober tahun lalu, jumlah wang tersebut adalah sebanyak RM12.8 bilion merangkumi akaun simpanan, insurans, deposit dan lain-lain.
Untuk menuntut WTD, individu atau waris yang berhak boleh mengemukakan permohonan secara dalam talian di https://egumis.anm.gov.my/ atau hadir ke kaunter JANM di setiap negeri.
Kaedah semakan dan tuntutan boleh dirujuk di portal eGUMIS JANM atau kaunter JANM. – UTUSAN