KUALA LUMPUR: Kemasukan ke negara ini dengan penggunaan Kod Respons Pantas (QR) akan dilaksanakan kepada pengembara dari 63 negara di dunia termasuk pemegang pas jangka panjang bermula 1 Januari 2026.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, setakat ini pelaksanaan QR tersebut buat masa ini dilaksana untuk rakyat Malaysia sahaja.
“Sistem di ‘autogate pasport’ (pintu automatik) kita sudah benarkan ‘travellers’ (pengembara) daripada 63 negara, termasuk pemegang pas jangka panjang dan juga negara ASEAN untuk menggunakannya,” katanya menjawab soalan tambahan Datuk Seri Takiyuddin Hasan (PN-Kota Bharu) pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat.
Beliau berkata, sistem kod QR khususnya penggunaan aplikasi MyBorderPass akan dilengkapi kecerdasan buatan (AI) iaitu penggunaan teknologi, pengecaman wajah dan juga anak mata selain biometrik.
“Jadi isu ‘counter setting’ (membabitkan anggota dan pegawai Jabatan Imigresen) dengan sendirinya akan dapat kita atasi sebab tidak ada orang (anggota dan pegawai Jabatan Imigresen) ditempatkan di kaunter).
“Sekarang pun, kita gunakan kira-kira 172 pegawai (Imigresen) pada satu ketika, tetapi bila kita buat pemasangan sepenuhnya nanti, hanya 68 orang dan kita akan ada pengurangan hampir 60 peratus.
“Jadi, segala macam penjimatan ini kita boleh alihkan tenaga kerja berkenaan ke tempat lain sebab kita akan pergi kepada penggunaan mesin sepenuhnya.
“Soal keselamatan data, pasport kita ini adalah antara 10 pasport paling dipercayai di dunia dari segi integriti pasport,” katanya.
Dalam pada itu, Saifuddin berkata, menerusi aplikasi MyBorderPass juga, pengembara boleh membuat semakan rekod jenayah, berkaitan cukai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sebelum memulakan perjalanan.
“Aplikasi MyBorderPass nanti adalah memasukkan aplikasi itu di dalam telefon bimbit kita membolehkan seseorang sebelum memulakan perjalanan, dia boleh semak dulu status LHDN. Jadi dia tidak tersangkut lagi dekat lapangan terbang.
“Dia boleh semak, kalau ada kes polis yang menghalangnya ke luar negara, dia boleh semak. Dia ada rekod PTPTN atau tidak. – UTUSAN