PETALING JAYA: Kerajaan akan memperkenalkan pas khas kemasukan pelabur atau kumpulan ekspatriat luar negara mulai April ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pas itu akan memudahkan membolehkan golongan itu tinggal lebih lama di negara ini untuk menguruskan perniagaan.
“Pas baharu ini untuk pelabur saja bagi membolehkan keberadaan mereka masuk lebih mudah, di mana kemudahan menjalankan perniagaan itu yang kita mahu tengok. Lagi cepat permohonan mereka kita proses, kita permudahkan, maka lebih baiklah penerimaan mereka terhadap iklim perniagaan di negara ini.
“Pelaksanaan pas ini akan bermula 1 April membolehkan mereka tinggal lebih lama untuk mereka selesaikan urusan pelaburan masing-masing. Proses pengeluaran pas akan dilakukan secara ‘e-past’ atau pas elektronik,” katanya bagi menjawab soalan tambahan Lee Chean Chung (PH-Petaling Jaya) pada sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Dalam pada itu, Saifuddin ketika mengulas mengenai pengurusan permit masuk pasangan kepada warganegara berkata, ketika ini baki tertunggak permohonan permit masuk yang sedang diuruskan Jabatan Imigresen berjumlah 11,700.
“Kita akan selesaikan semua permohonan 11,700 ini pada Jun nanti . Ini komitmen berterusan kita di KDN untuk mempermudahkan urusan sistem penyampaian kepada rakyat.
Sebelum ini, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah, dilaporkan berkata, penambahbaikan proses permohonan permit masuk untuk mendapatkan taraf pemastautin tetap (MYPR), khususnya bagi kategori pasangan kepada warganegara akan mula dilaksanakan pada 1 September depan.
Beliau berkata, bagi permohonan kategori isteri kepada warganegara, ditetapkan tempoh tiga tahun perkahwinan menggunakan pas lawatan (Sosial) selama satu tahun sebelum layak mengemukakan permohonan permit masuk. – UTUSAN