KUALA LUMPUR: Seramai 38 juta pelancong asing direkodkan mengunjungi negara ini sepanjang tahun lalu, sekali gus menyaksikan peningkatan sebanyak 31.1 peratus berbanding tempoh sama pada 2023 yang merekodkan ketibaan seramai 29 juta pelawat asing.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, pencapaian itu juga telah melepasi paras prapandemik dengan peningkatan sebanyak 8.3 peratus jika dibandingkan dengan 2019 yang hanya merekodkan ketibaan seramai 35 juta pelawat asing.
“Bagi pendapatan yang dijana daripada jumlah perbelanjaan pelawat asing pada 2024 pula melonjak RM106.7 bilion iaitu peningkatan sebanyak 43.7 peratus berbanding RM74.3 bilion yang direkodkan pada 2023.
“Ini sekali gus melepasi paras prapandemik sebanyak 20.0 peratus dengan jumlah perbelanjaan pelawat asing yang direkodkan pada 2019 adalah hanya RM89.0 billion,” katanya.
Beliau menjawab soalan Pele Peter Tinggom (PDP) yang meminta Kerajaan memberitahu jumlah kedatangan pelancong pada 2024 dan keuntungan yang diperoleh negara melalui industri pelancongan. – UTUSAN