PARLIMEN: Lebih 400,000 hektar kebun getah akan dibangunkan

PARLIMEN: Lebih 400,000 hektar kebun getah akan dibangunkan

JOHARI ABDUL GHANI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelan Pemulihan dan Peningkatan Pengeluaran Getah di Kawasan Tanaman Getah Terbiar sedang disediakan dalam usaha membangunkan 409,000 hektar kebun getah matang terbiar di seluruh negara.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, menerusi pelan itu, ia dapat meningkatkan pengeluaran dan produktiviti tanah sekaligus meningkatkan pendapatan pekebun kecil.

Beliau berkata, antara strategi utama digariskan pelan itu ialah pelaksanaan program Konsolidasi Pekebun Kecil iaitu pendekatan konsolidasi tanah getah terbiar yang akan dilaksanakan melalui model ladang berkelompok (kluster).

“Pelan itu juga membolehkan kawasan kecil disatukan menjadi ladang berskala besar yang lebih ekonomik, membabitkan kerjasama agensi seperti Lembaga Getah serta agensi seliaan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah seperti Pihak berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dan FELCRA dan agensi lain.

“Selain itu, pembangunan infrastruktur dan penyediaan sokongan teknikal dengan kebun terbiar akan dimajukan menerusi penyediaan infrastruktur mengikut keperluan seperti jalan ladang, sistem pengairan dan pusat mengumpul getah (PMG) di kawasan strategik.Bantuan teknikal, khidmat nasihat dan latihan oleh LGM dan RISDA bakal disediakan bagi memastikan produktiviti optimum,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan Kamal Ashaari (PN-Kuala Krau) mengenai pelan terperinci kementerian membangunkan lebih 420,000 hektar ladang getah terbiar yang dikenal pasti, mengambil kira cabaran dihadapi pekebun kecil serta aspek penyelenggaraan ladang getah.

Dalam pada itu, Johari berkata, pelan itu turut menggariskan strategi program pemulihan dan penyelenggaraan kebun getah matang terbiar dengan aktiviti pembersihan dan pemulihan tanah akan dilaksanakan.

Katanya lagi, ia bertujuan memastikan kebun getah yang pokoknya sudah tua dapat ditanam semula dengan klon getah bermutu tinggi dan lebih tahan penyakit serta berdaya hasil tinggi.

“Program latihan untuk pekebun kecil, meliputi aspek penyelenggaraan kebun terbiar, amalan pertanian baik (GAP) serta teknik membaja dan menoreh akan dijalankan.

“Seterusnya, kempen kesedaran dan penyertaan pekebun kecil. Sesi libat urus akan dijalankan dengan kerjasama NASH untuk memastikan penyertaan aktif pekebun kecil dalam program ini termasuk promosi manfaat penyertaan dan penyelesaian kepada isu kebimbangan mereka seperti pemilikan tanah dan perkongsian hasil.

“Melalui pelan strategik ini, kementerian yakin usaha pembangunan ladang getah terbiar akan meningkatkan pendapatan pekebun kecil serta mengukuhkan kedudukan sektor getah sebagai penyumbang penting kepada ekonomi negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya