PETALING JAYA: Sebanyak RM40 juta disalurkan kerajaan tahun ini bagi menyelenggara 302 sistem telaga tiub sekolah luar bandar Sabah dan Sarawak.
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, jumlah peruntukan tersebut meningkat berbanding tahun lalu iaitu RM30.6 juta.
Menurut Kah Woh, Kementerian Pendidikan bekerjasama rapat dengan kerajaan Sabah dan Sarawak serta Jabatan Kerja Raya (JKR) dalam melaksanakan pembinaan dan pemasangan bekalan air telaga tiub di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak dari tahun 2021 sehingga kini.
“Jumlah nilai kontrak peruntukan yang diluluskan ialah RM94.5 juta. Di bawah projek ini, sebanyak 90 sekolah telah dikenal pasti dan disenaraikan bagi projek ini iaitu 79 buah di Sabah dan 11 buah di Sarawak.
“Pembinaan sedang dilaksanakan dengan giat dan purata kemajuan fizikal projek bagi 64 sekolah telah mencapai 59.85 peratus. Tempoh kontrak kerja ditetapkan selama dua tahun dan dijadualkan siap sepenuhnya pada tahun ini,” katanya dalam sesi sidang Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Larry Sng Wei Shien (PBM-Julau) mengenai usaha yang dilaksanakan kementerian untuk memastikan bekalan air bersih disalurkan ke sekolah di kawasan luar bandar.
Dalam pada itu Kah Woh berkata, sebanyak 16 buah sekolah telah diluluskan penukaran skop projek kepada penggunaan teknologi Penjana Air Atmosfera (AWG – Atmospheric Water Generator).
Katanya, JKR Malaysia sedang dalam proses memuktamadkan perjanjian tambahan untuk melaksanakan skop baharu dalam projek ini, manakala 10 sekolah di Sabah dalam proses kelulusan penukaran skop AWG. – UTUSAN