PETALING JAYA: Satu mesyuarat khas akan diadakan dalam masa terdekat bersama setiausaha agung semua parti politik bagi membincangkan hal berkaitan Rang Undang-Undang (RUU) Pendanaan Politik.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, mesyuarat tersebut diadakan bagi mendapatkan pandangan dan pendirian parti mengenai cadangan penggubalan RUU itu serta membincangkan persoalan dasar yang timbul.
Katanya, kerajaan juga akan mendengar dan mendapatkan pandangan daripada parti-parti politik kerajaan dan pembangkang selain pihak universiti sebagai pihak neutral.
“Melalui pendekatan ini, Kerajaan Madani dapat memastikan bahawa setiap langkah yang diambil adalah berdasarkan data yang sahih dan telus, sekali gus memberi manfaat kepada seluruh masyarakat,” katanya di Dewan Rakyat.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal (Warisan-Semporna) sama ada kerajaan bercadang untuk meminda Perlembagaan Persekutuan bagi menambah baik Akta Anti Lompat Parti dan membentangkan Akta Pendanaan Politik di Parlimen sebelum Pilhan Raya Umum ke-16.(PRU-16) nanti.
Dalam pada itu, Azalina berkata, sehingga Februari 2025, sebanyak lapan sesi libat urus telah diadakan bagi membincangkan isu berkaitan RUU Pendanaan Politik.
“Ini termasuk lima sesi bersama wakil parti politik dan agensi Kerajaan serta tiga mesyuarat dengan Jawatankuasa Pilihan Khas Hak Asasi, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi.
“Pada 10 Februari 2025, JKPK telah mengemukakan maklum balas mengenai penambahbaikan skop dasar RUU Pendanaan Politik.
“Dua hari selepas itu, saya telah mempengerusikan mesyuarat bersama JKPK serta Kementerian dan agensi kerajaan seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Kementerian Kewangan, Jabatan Peguam Negara dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk membincangkan hala tuju dan kebolehlaksanaan RUU Pendanaan Politik.
Bagaimanapun katanya, terdapat beberapa perkara dasar yang belum mencapai persetujuan sebulat suara, seperti keperluan pendanaan awam kepada parti politik, had sumbangan dan entiti yang akan mengawal selia dana politik. – UTUSAN