PETALING JAYA: Kenaikan harga kelapa di pasaran tempatan kebelakangan ini berpunca daripada lonjakan harga kelapa import dari Indonesia yang kini mencecah RM2.20 sebiji berbanding RM1.10.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, kenaikan harga tersebut juga disebabkan oleh kekurangan bekalan komoditi berkenaan selain peningkatan permintaan eksport produk kelapa Indonesia ke China.
“Buat masa ini, negara bergantung sebanyak 98 peratus sumber import kelapa dari Indonesia. Berdasarkan laporan perangkaan agro makanan berlaku peningkatan sejak lima tahun kebelakangan ini.
“Trend pengeluaran kelapa meningkat daripada 536 juta biji kepada 623 juta biji pada 2023. Bagaimanapun, jumlah ini belum mampu menampung keperluan negara yang memerlukan 1.3 bilion biji setahun atau bersamaan 108 juta biji kelapa sebulan.
“Penggunaan perkapita kelapa juga meningkat daripada 22.7 kilogram (kg) pada 2019 kepada 24.9 kg (2023),” katanya semasa sesi pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Rodziah Ismail (PH-Ampang) mengenai perancangan terperinci kementerian untuk menangani lonjakan harga produk berasaskan kelapa terutamanya santan yang boleh menjejaskan keseluruhan rantaian bekalan dan nilai berteraskan kelapa akibat kekurangan bekalan kelapa tempatan, kenaikan harga kelapa import dari Indonesia.
Mohamad Sabu berkata, kenaikan harga bekalan komoditi itu juga berpunca akibat musim kelapa melawas iaitu keadaan putik kelapa gugur dari tandan disebabkan cuaca ekstrem sama ada panas melampau atau hujan lebat.
Fenomena itu katanya, boleh mempengaruhi penghasilan dan kesuburan kelapa di negara ini.
“Faktor cuaca seperti kemarau dan banjir juga memberi kesan kepada pengeluaran kelapa di ladang.
“Selain itu, trend petani tempatan yang lebih cenderung menjual kelapa muda berbanding kelapa tua turut menyumbang bekalan tidak mencukupi untuk pemprosesan santan disebabkan harganya lebih tinggi dan tempoh tuaian lebih singkat,” katanya.
Bagi menangani isu lonjakan harga kelapa dan santan, jelasnya, pihak kementerian mengambil beberapa langkah intervensi yang seimbang antara pengurusan bekalan, penyelidikan dan pembangunan serta sokongan kerajaan bagi jangka pendek, pertengahan dan jangka panjang.
“Menerusi intervensi jangka pendek, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) akan membawa masuk 640,000 biji kelapa tua setiap bulan dari Indonesia, Sabah dan Sarawak.
“Ini bagi memastikan bekalan dan penggunaan kelapa di semenanjung mencukupi terutamanya pada musim perayaan. Sehingga 4 Mac lalu, FAMA sudah membawa masuk bekalan kelapa tua sebanyak 734,000 biji ke semenanjung,” katanya.
Katanya, bekalan kelapa tua tersebut kemudian akan diedar oleh 42 pusat operasi FAMA ke pasaran melalui 509 outlet seperti Agro Bazar, kedai rakyat dan pasar tani kekal.
“Sebahagian bekalan akan turut diagihkan kepada 16 pemborong dan 202 usahawan santan seluruh negara.
“Langkah ini akan membantu menstabilkan harga dan memastikan kelangsungan bekalan industri pemprosesan santan dan produk berasaskan kelapa,” jelasnya. – UTUSAN