PETALING JAYA: Pelaksanaan sistem pembayaran berdasarkan klasifikasi pesakit mengikut diagnosis (DRG) merupakan salah satu langkah yang diperkenalkan oleh kerajaan dalam usaha menangani isu caj berlebihan di hospital swasta.
Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata, kerajaan akan mengkaji keperluan untuk meminda Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan 1998 bagi mengawal selia pengendalian serta perkhidmatan jagaan kesihatan swasta.
“DRG adalah mekanisme pembayaran penjagaan kesihatan yang lebih moden dan menyeluruh berbanding sistem pembayaran sedia ada, iaitu fee for services (bayaran perkhidmatan).
“DRG dilengkapi dengan pemantauan klinikal yang dapat menggalakkan kecekapan hospital, menyediakan rawatan yang lebih berfokus dan berkesan, mengelakkan prosedur serta ujian yang tidak perlu dan memastikan pesakit menerima penjagaan berkualiti,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugor) mengenai cadangan kerajaan menggubal undang-undang baharu bagi menggantikan mekanisme fee for services bagi mengurangkan kos perubatan yang ditanggung oleh pengguna.
DRG adalah sistem pembayaran penjagaan kesihatan yang menetapkan bayaran tetap berdasarkan kerumitan kes pesakit, berbeza dengan amalan biasa yang membayar berdasarkan perkhidmatan yang diberikan.
Dengan menggunakan DRG, hospital akan menerima harga yang telah ditentukan terlebih dahulu dan menguruskan sumbernya berdasarkan peruntukan yang ada.
Sistem ini memberi tumpuan kepada rawatan yang lebih menjimatkan kos, mengurangkan prosedur yang tidak perlu, dan mengelakkan pemberian ubat berlebihan.
Walaupun DRG bukan mekanisme kawalan harga, ia merupakan pendekatan disiplin kos yang memberi manfaat kepada hospital dalam mengoptimumkan sumber dan kecekapan, sekaligus memberi manfaat kepada pesakit. – UTUSAN