PETALING JAYA:: Analisis data lengkap Banci Pertanian 2024 (BP 2024) yang dikumpul Jabatan Perangkaan Malaysia akan dimuktamadkan bagi dapatan awal bancian.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup memaklumkan, data tersebut kini giat dianalisis bagi tujuan pengesahan dan pengabsahan.
“Dapatan daripada Banci Pertanian 2024 akan dimanfaatkan untuk membangunkan Pangkalan Data Statistik Pertanian Bersepadu (MySAgR).
“Integrasi data banci tersebut dengan data pentadbiran daripada kementerian dan agensi berkaitan akan menghasilkan pangkalan data lebih komprehensif dan bersepadu,” katanya pada sidang Dewan Rakyat hari ini.
Sebagai rekod, Banci Pertanian 2024 bermula tahun lalu bagi menghasilkan data inklusif, relevan dan bertepatan masa.
Ia meliputi subsektor tanaman, ternakan, perikanan serta perhutanan dan pembalakan bagi menyokong perancangan dan dasar yang berkesan.
Dalam pada itu Arthur juga berkata, hasil analisis banci pertanian juga akan digunakan untuk penerbitan statistik pertanian secara berkala selain merangka, memantau dan menilai program bagi meningkatkan keterjaminan makanan negara. – UTUSAN