PETALING JAYA: Sebanyak 75,566 orang kurang upaya (OKU) mendapat pekerjaan sepanjang tempoh lima tahun sejak 2020 hasil pelbagai inisiatif dilaksanakan.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, inisiatif tersebut sekali gus dapat memastikan OKU menerima latihan kemahiran dan akses kepada pekerjaan.
Selain itu katanya, langkah tersebut juga dapat memastikan golongan berkenaan diberikan sijil di bawah Sistem Pensijilan Kemahiran Malaysia.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Dalam pada itu Abdul Rahman berkata, kementerian itu akan mengetuai Jawatankuasa Pekerjaan di bawah Majlis Kebangsaan bagi OKU (MKBOKU) seliaan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
Jawatankuasa itu, katanya bertujuan membincangkan dan mencadangkan langkah penyelesaian isu akses pekerjaan OKU. – UTUSAN