PARLIMEN: 582 jururawat KKM letak jawatan tahun lalu - Utusan Malaysia

PARLIMEN: 582 jururawat KKM letak jawatan tahun lalu

JABATAN PENERANGAN MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Kementerian Kesihatan (KKM) merekodkan seramai 582 orang jururawat meletakkan jawatan sepanjang 2024 atas pelbagai alasan termasuk bekerja di sektor swasta. 

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, isu penempatan, mengikut pasangan berpindah, syif bekerja, masalah kesihatan dan peribadi menjadi faktor peletakan jawatan berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, pihak kementerian sentiasa komited meningkatkan pengambilan jumlah jururawat bagi memenuhi keperluan di setiap fasiliti kesihatan. 

“Pengambilan jururawat menerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) diteruskan bagi memastikan jumlah jururawat mencukupi.

“Pengambilan dibuat secara berfasa melibatkan graduan dari institusi pengajian tinggi awam dan swasta, diploma kejururawatan serta Institut Latihan KKM.

“Untuk rekod, jumlah pengambilan pelatih diploma kejururawatan turut meningkat daripada 1,000 kepada 2,000 pelatih. Sebanyak tujuh kolej juga memohon untuk mengadakan program baharu bagi diploma kejururawatan selepas penamatan moratorium diploma itu pada 1 Ogos 2024,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Suhaizan Kaiat (PH-Pulai) yang meminta kementerian menyatakan maklumat mengenai jumlah jururawat yang berhenti daripada KKM serta jumlah yang diperlukan di semua fasiliti kesihatan lama dan baharu.  

Sehingga 31 disember 2024, seramai 70,229 jururawat berkhidmat di fasiliti KKM seperti di hospital, klinik kesihatan, institut perubatan dan Institut Latihan KKM.  

Jumlah itu terdiri daripada 69,114 jururawat yang merupakan anggota lantikan tetap dan 821 lantikan kontrak interim. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN