PETALING JAYA: Sebanyak 24 kejadian lubang benam direkodkan Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) di seluruh negara dalam tempoh lima tahun sejak 2019 hingga 2024.
Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRES), Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, Perak mencatatkan jumlah tertinggi kejadian lubang benam iaitu sebanyak 11 kes, diikuti Kuala Lumpur dan Pulau Pinang masing-masing tiga kes.
Di Kelantan pula, sebanyak dua kes direkodkan dan masing-masing satu kes di Negeri Sembilan, kedah, Selangor, Melaka dan Perlis.
“Kementerian ini, melalui JMG sentiasa komited dalam usaha pengurangan risiko bencana geologi di kawasan pembangunan yang melibatkan kawasan sensitif bencana geologi lubang benam untuk memastikan keselamatan awam terjaga,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh (PN-Besut) mengenai jumlah kejadian lubang benam yang dilaporkan di negara ini dalam lima tahun terakhir dan langkah kementerian dalam menangani isu berkenaan.
Nik Nazmi juga berkata, JMG berperanan memberikan ulasan berkaitan penilaian bahaya dan risiko geologi dan turut terlibat dalam penggubalan piawaian terhadap perancangan pembangunan negara di semua peringkat.
Katanya, kementerian itu menyatakan kesediaan untuk meneliti semakan semula piawaian pembangunan melibatkan kawasan berisiko tinggi lubang benam bagi meningkatkan keselamatan.
“Maklumat utama yang perlu diberi penekanan adalah maklumat geologi persekitaran tapak pembangunan yang menjadi asas kepada penyediaan laporan cadangan pemajuan dan laporan geoteknikal,” katanya. – UTUSAN