PETALING JAYA: Kerajaan digesa mempercepatkan penggunaan teknologi dalam sistem pendaftaran kelahiran bagi mengurangkan campur tangan individu serta meningkatkan ketelusan dan keselamatan maklumat.
Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, sistem sedia ada yang masih membolehkan manipulasi dokumen dan pendaftaran lewat kelahiran membuka ruang kepada penyalahgunaan kuasa serta amalan rasuah.
“Digitalisasi dapat membantu menutup ruang rasuah dengan memastikan proses pendaftaran lebih telus dan bebas daripada sebarang manipulasi dokumen sokongan palsu.
“Mekanisme pemantauan lebih ketat perlu diperkenalkan dalam proses pendaftaran kelahiran, terutama bagi kes lewat daftar bagi mengelakkan eksploitasi oleh pihak tidak bertanggungjawab,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan 16 individu yang disyaki terbabit dalam skandal rasuah membabitkan pendaftaran lewat kelahiran dan penggunaan dokumen palsu.
Jais berkata, pihaknya menyambut baik operasi Op Outlander dan Op Birth yang dilaksanakan SPRM dalam usaha membanteras penyalahgunaan kuasa berkaitan pendaftaran kelahiran.
Beliau berkata, kerajaan perlu mempercepatkan langkah pendigitalan agar setiap proses pendaftaran dapat dipantau secara lebih telus dan mengurangkan risiko rasuah.
“Perlunya perlindungan terhadap individu yang tampil memberi maklumat bagi memastikan lebih banyak kes rasuah dapat dibongkar tanpa sebarang ancaman atau tekanan.
“Kepentingan latihan berkala kepada pegawai kerajaan dan petugas barisan hadapan mengenai integriti serta kesan buruk rasuah terhadap negara dan masyarakat.
“Malaysia hanya boleh mencapai status negara bebas rasuah jika semua pihak memainkan peranan secara proaktif dalam memastikan integriti dan ketelusan dalam sistem pentadbiran negara,” katanya.
Mengulas lanjut, Jais berkata, tegas dan hukuman berat perlu dikenakan terhadap individu yang terlibat dalam skandal rasuah pendaftaran lewat kelahiran sert penggunaan dokumen sokongan palsu.
Katanya, kegiatan rasuah itu bukan sahaja mencemarkan integriti institusi kerajaan, tetapi berisiko menggugat keselamatan serta kedaulatan negara.
“Perbuatan memanipulasi status kewarganegaraan melalui rasuah adalah jenayah serius yang tidak boleh dikompromi.
“Mereka yang terlibat termasuk penjawat awam mesti dikenakan tindakan tegas bagi memastikan kesalahan ini tidak berulang,” katanya. – UTUSAN