KUANTAN: Tiga buah syarikat pembekal beras di negeri ini dilantik untuk mengedarkan sebanyak 700 tan metrik beras putih tempatan (BPT) sebulan kepada peruncit serta peniaga.
Dua syarikat di Kuantan masing-masing menerima 300 tan metrik manakala sebuah lagi di Kampung Awah, Maran memperoleh 100 tan metrik menerusi Program Khas BPT Bersubsidi 2025.
Selain tiga syarikat itu, pengedaran BPT turut dibuat oleh anak syarikat Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) iaitu Jasmine Food Corporation Sdn. Bhd., Oel Distribution (East Coast) Sdn. Bhd. dan Serbawangi PH Sdn. Bhd.
Pengarah Kawal Selia Padi dan Beras Pahang, Hamizan Musa berkata, jumlah 700 tan metrik itu dianggarkan membabitkan kira-kira 70,000 kampit yang akan dijual pada harga RM26 bagi kampit 10 kilogram (kg).
“Melalui bekalan BPT yang diterima kali ini, ia diharap dapat mengatasi masalah kekurangan beras jenis itu dalam pasaran tempatan.
“Walaupun tidak dapat menyelesaikan masalah itu sepenuhnya, sekurang-kurangnya langkah ini dapat memastikan bekalan beras tempatan sentiasa ada di pasaran,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Tambah Hamizan, pihaknya akan melakukan pemeriksaan di kedai-kedai runcit yang menerima BPT, setiap kali maklumat tentang penghantaran diterima daripada pengilang atau pengedar.
“Kita akan pastikan BPT dihantar sama seperti invois dan data dihantar pihak pengedar. Ini penting bagi memastikan bekalan ini sampai di pasaran demi manfaat pengguna,” katanya.
Beliau turut menasihatkan pengguna agar membeli beras mengikut keperluan dan tidak melakukan pembelian panik yang menjadi antara punca gangguan bekalan.
“Beras itu ada, yang menjadi masalah apabila berlaku pembelian panik,” katanya. – UTUSAN