MELAKA : Dua lelaki tanpa segan silu menghisap rokok di tempat awam pada hari pertama umat Islam menunaikan ibadah puasa sebelum dicekup oleh pihak berkuasa dalam Operasi Cegah Jenayah Syariah yang dijalankan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Melaka, Datuk Rahmad Mariman berkata, kedua-dua individu berusia 59 dan 45 tahun itu ditahan di dua lokasi berasingan di Alor Gajah dan Krubong.
“Kes pertama melibatkan seorang peniaga makanan berusia 59 tahun di Bukit Beringin yang selamba merokok ketika sedang membawa makanan ke dalam kenderaan.
“Kes kedua pula melibatkan seorang lelaki warga Bangladesh berusia 45 tahun yang tanpa rasa bersalah merokok di sebuah kedai makan di Krubong,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Kesemua mereka ditahan di bawah Seksyen 49 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 (EKSNM) kerana tidak menghormati bulan Ramadan.
Dalam operasi yang dijalankan semalam merangkumi beberapa kawasan tumpuan seperti Jalan Besar Alor Gajah, Kelemak, Masjid Tanah, Kuala Sungai Baru, Tangga Batu, Tanjung Kling, Sungai Udang, Krubong, Pulau Gadong dan Kawasan Perindustrian Bukit Rambai.
JAIM menegaskan pihaknya akan terus memperketat penguatkuasaan bagi memastikan kesucian bulan Ramadan dihormati dan tidak dicemari oleh perbuatan tidak bertanggungjawab seperti ini. – UTUSAN