PETALING JAYA: ‘Saya rindu dan gembira dapat kembali hidung lama balik,’
Demikian kata pelakon, Zarina Anjoulie selepas nekad membuang implan hidung gara-gara terkena jangkitan kuman sehingga bernanah.
Menurut Zarina atau Anju, 38, dia menyesal menjalani prosedur pembedahan plastik di Vietnam sebelum ini yang didapati tidak bersih dan menggunakan silikon terpakai.
“Menyesal saya buat hidung, terkena jangkitan sampai demam dan sakit badan. Sudah beberapa hari hidung saya merah sangat kerana jangkitan.
“Sebenarnya jangkitan ini telah ada sejak dari Vietnam lagi. Perkara ini dipanggil jangkitan secara senyap, luaran nampak okey, tetapi bahagian dalam telah ‘makan’ hidung saya,” katanya.
Anju berkongsi perkara itu menerusi sebuah perkongsian yang dimuat naik di Instagram, pada Isnin.
Tidak menunggu lama, pelakon drama bersiri Curang Tanpa Niat tersebut terus membuang implan berkenaan di sebuah klinik kecantikan milik sahabatnya dengan segera.
“Sangat teruk, apabila saya buka rupanya silikon itu sudah digunakan oleh orang lain sebelum dicuci dan dipakaikan kepada saya.
“Hendak tunggu buat di hospital lambat, jadi saya pilih buat di klinik kecantikan sahaja. Klinik ini tidak buat pembedahan hidung tetapi saya minta tolong untuk keluarkan silikon itu secepat mungkin.
“Badan saya sudah mula demam, batuk, berkahak dan sinus teruk bermakna bakteria telah merebak. Saya tidak cadang anda pergi ke klinik di Vietnam, tadi semasa buang silikon nanah memancut keluar,” jelasnya.
Serik menanggung akibat pembedahan kosmetik tersebut, Anju turut meluahkan rasa lega selepas segala simptom jangkitan kuman hilang usai membuang implan berkenaan.
“Nampak jahitannya klinik di Malaysia kemas, berbanding jahitan di Vietnam dahulu seperti jahit tali rafia. Saya tidak tahu bagaimana orang boleh buat pembedahan hidung kerana cukup menyusahkan, menyeksakan dan merimaskan,” ujarnya.
Sebelum ini, Anju secara terbuka berkongsi dirinya ditaja oleh pihak sebuah klinik estetik di Vietnam untuk menjalani pembedahan hidung sekitar enam bulan lalu. -UTUSAN