BUTTERWORTH : Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pulau Pinang berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan rokok dan minuman keras dalam operasi berasingan di negeri ini dengan nilai keseluruhan rampasan berjumlah lebih setengah juta, Januari lalu.
Pengarah Kastam negeri, Rohaizad Ali berkata, sebanyak 555.6 kilogram (kg) rokok seludup pelbagai jenama yang disimpan di sebuah premis terbiar di Nibong Tebal dirampas dalam operasi pertama, kira-kira pukul 4.30 petang pada 25 Januari lalu.
“Hasil serbuan, kita menjumpai 555,600 batang rokok yang disimpan di premis terbabit dan modus operandi sindiket berkenaan adalah menyimpan rokok tidak berkastam di premis terbiar dalam kawasan perkampungan bagi mengelakkan daripada dikesan pihak berkuasa.
“Kesemua rokok dirampas membabitkan nilai keseluruhan termasuk cukai berjumlah RM383,599,” katanya dalam sidang akhbar di Stor Penguatkuasan Kastam di Bagan Jermal di sini, hari ini.
Sementara itu dalam operasi berasingan pada 9 Januari lalu, satu serbuan dijalankan di sebuah stor di Bukit Mertajam yang membawa kepada penemuan sejumlah minuman keras pelbagai jenama membabitkan nilai keseluruhan termasuk cukai berjumlah RM267,854.65.
“Sebanyak 3,665 botol dan 13,836 tin minuman keras dipercayai disimpan di stor terbabit sebelum diedarkan untuk pasaran tempatan, bagaimanapun tiada tangkapan dilakukan setakat ini dan kita sedang mengenal pasti suspek yang terlibat,” katanya. – UTUSAN