GEORGE TOWN : Seramai 341,708 pengguna di lima daerah di Pulau Pinang dijangka mengalami gangguan bekalan air berjadual (SWSI) pada penghujung Syawal ini iaitu bermula 25 sehingga 28 April depan.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, SWSI itu diramal berlangsung untuk tempoh antara 24 hingga 60 jam disebabkan pelaksanaan 23 projek kerja air secara serentak di negeri ini.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan para pengguna agar menyimpan bekalan air yang mencukupi sepanjang tempoh tersebut.
“Walaupun SWSI dijangka berlangsung sehingga 60 jam, namun, demi kepentingan pengguna, PBAPP merancang untuk mencapai tahap pemulihan bekalan air sebanyak 88 peratus untuk 300,185 daripada 341,708 akaun pengguna terjejas dalam tempoh 48 jam sahaja,” katanya di sini, hari ini.
Menurut Kon Yeow, dengan pemberitahuan notis awal ini, diharapkan orang ramai memberi kerjasama penuh dan menyimpan air mencukupi untuk kegunaan bergantung kepada lokasi kediaman masing-masing.
“Matlamat utama SWSI adalah untuk menyiapkan sambungan akhir saluran paip yang merentasi Sungai Perai di Kampung Teluk dan Ampang Jajar selain menggantikan paip sementara yang dipasang selepas kejadian paip pecah pada Disember 2023 dan Januari 2024 yang lalu.
“Dalam hal ini, PBAPP akan turut memanfaatkan penutupan berjadual ini untuk melaksanakan 23 projek kerja air di sembilan lokasi secara serentak bagi mengurangkan keperluan gangguan pada masa hadapan,” katanya yang memberitahu, kesemua projek tersebut dijangka menelan belanja sebanyak RM25 juta.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Datuk Ir. K. Pathmananthan berkata, pengguna di kawasan berdekatan LRA Sungai Dua dan saluran paip utama akan mengalami SWSI lebih pendek berbanding kawasan yang jauh dengan operasi pelaksanaan kerja-kerja air itu.
“Pemulihan bekalan air untuk tahap pertama difokuskan kepada 136,683 atau 40 peratus pengguna dalam tempoh 24 jam meliputi kawasan di kelima-lima daerah iaitu SPU (Seberang Perai Utara), SPT (Seberang Perai Tengah), Seberang Perai Selatan (SPS), Barat Daya dan Timur Laut.
“Sementara itu, tahap kedua pemulihan yang dijangka mengambil masa 48 jam membabitkan 163,502 pengguna manakala pemulihan tahap ketiga pula melibatkan baki 41,523 pengguna di dua daerah sahaja iaitu SPS dan Barat Daya,” katanya.
Tambahnya bekalan air ke semua kawasan perindustrian utama termasuk Bayan Lepas, Perai, Bukit Minyak, Batu Kawan serta Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) pula harus pulih dalam tempoh 24 atau 48 jam.-UTUSAN