Overwork, Ernie Zakri rehat sebulan - Utusan Malaysia

Overwork, Ernie Zakri rehat sebulan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

APALAGI yang paling meresahkan buat seorang penyanyi selain suara yang menjadi punca rezeki tiba-tiba gagal berfungsi. Bagi Ernie Zakri, suara yang hilang seminggu sebelum konsert besar berlangsung menjadi trauma besar buatnya sehingga hari ini.

Ketika bersemuka dengan anak jati Kuala Lumpur itu, Ernie atau Nur Ernie Shahirah binti Zakri, 32, mendedahkan tahun lalu dia tidak pernah bercuti walau sehari daripada kerja demi memenuhi undangan persembahan dan pelanggan.

Ernie terus bekerja sehinggalah badannya memberi petanda untuk berehat. Penyanyi Aura itu terpaksa mengambil suntikan, menelan ubat dan mendapatkan nasihat doktor setiap hari untuk mengembalikan suaranya.

“Tahun lalu saya tidak bercuti langsung. Adalah saya curi waktu melancong dengan keluarga. Tapi untuk dapat satu hari yang saya boleh rehat dan tidur, tidak ada.

“Jadi untuk tahun 2025, saya bincang dengan pengurus untuk susun jadual bagi ‘cantik’. Seminggu saya mesti ada dua hari cuti.

“Saya sudah belajar daripada pengalaman. Jika kesihatan saya terjejas, saya pun tidak boleh memberi persembahan terbaik buat peminat,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sebuah hotel, baru-baru ini.

Tambah pemenang Vokal Terbaik Anugerah Juara Lagu ke-32 dan 39 itu lagi, sebenarnya doktor sudah mengesahkan dirinya terlebih kerja dan menyarankan agar dia berehat selama sebulan.

“Doktor juga beritahu, saya terlebih kerja. Saya fikir badan saya boleh tanggung, rupanya tidak. Sakit selama seminggu itu umpama tamparan hebat. Jika saya mahu tangguhkan konsert, tidak sampai hati sebab peminat sudah beli tiket dan mereka teruja bersiap mahu datang.

“Setiap hari saya telefon doktor bertanya adakah situasi saya ini normal. Tapi doktor kata sakit ini akan ambil untuk sembuh sebab saya ‘bantai’ suara gila-gila. Jadi, kesan sakitnya berkali ganda.

“Ubatnya rehat sahaja. Sekarang semua sudah makin baik walau tidak seratus peratus sembuh,” tambahnya yang baru sahaja melangsungkan konsert Aura di Kuala Lumpur pada 26 Januari lalu.

REHAT SEBULAN
Selepas melakar rekod baik di Anugerah Juara Lagu ke-39 Februari lalu dan Masing-Masing menjadi lagu paling lama di carta Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM), Ernie meneruskan momentumnya dengan mengadakan konsert pertamanya di Singapura yang bakal berlangsung pada 31 Mei di Capitol Theater, Singapura.

Bagi memastikan dapat memberi persembahan lebih baik, Ernie mengambil keputusan untuk bercuti dan menolak beberapa undangan persembahan dalam tempoh sebulan.

“Masalah suara menyebabkan saya tidak boleh kerap berkomunikasi dengan peminat ketika konsert di Kuala Lumpur. Jadi sebagai persediaan persembahan di Singapura, saya akan berehat selama sebulan iaitu sepanjang Mei.

“Ada tawaran yang saya terpaksa tolak namun kebanyakan penganjur faham komitmen saya untuk konsert.

“Ramadan ini saya cuti juga selama dua minggu namun harus ke Jakarta juga kerana mahu selesaikan beberapa projek. Selain itu saya ambil inisiatif minum air madu,” tambahnya.

Konsert Ernie Zakri Live In Singapore dibawakan oleh SAH Entertainment dan peminat boleh mengikuti laman sosial penganjur untuk pembelian tiket.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN