PETALING JAYA: Open University Malaysia (OUM) dan Faiths Events kini bekerjasama bagi memperkukuh pendidikan Islam dan pemahaman antara agama yang lebih mendalam di Malaysia.
Kolaborasi ini dimeterai menerusi memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani baru-baru ini, dengan OUM diwakili oleh Naib Presiden merangkap Timbalan Naib Canselor (Akademik & Penyelidikan), Prof. Datuk Dr. Mohd. Tajudin Md. Ninggal.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Faith Events, Khairul Amar Razali berkata, kerjasama ini juga mampu membangunkan kursus dan program Islam selain mempromosi ajaran Islam di samping pemahaman rentas budaya.
“Ia juga melibatkan perkongsian sumber dan kepakaran bagi meningkatkan kualiti acara pendidikan serta motivasi,” katanya dalam kenyataan.
Beliau menambah, kerjasama ini turut merangkumi penganjuran acara Islam yang lebih komprehensif untuk menyediakan pengalaman pembelajaran holistik kepada masyarakat.
Sementara itu, Prof. Datuk Dr. Mohd. Tajudin berkata, OUM berbangga dapat bekerjasama dengan Faith Events dalam memperluaskan peluang pendidikan yang mengintegrasikan aspek akademik dan rohani.
“Inisiatif ini sejajar dengan misi OUM dalam menggalakkan pembelajaran sepanjang hayat dengan menerima pelbagai perspektif. Perkongsian ini menekankan kepentingan penyepaduan antara iman dan pendidikan bagi memastikan pengalaman pembelajaran yang lebih menyeluruh untuk semua lapisan masyarakat,” katanya.
Tambah beliau, kerjasama ini juga menegaskan komitmen kedua-dua pihak dalam membina komuniti yang berteraskan ilmu, kepercayaan dan pertumbuhan peribadi. – UTUSAN