TAPAH: Pengundi masyarakat Orang Asli diyakini tetap teguh memberikan sokongan kepada calon Barisan Nasional (BN) khususnya UMNO dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning pada 26 April nanti.
Pengerusi BN dan UMNO Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, sepanjang bergelumang dalam politik, beliau tidak pernah sesekali meragui sokongan masyarakat Orang Asli.
“Kita tidak pernah meragui sokongan masyarakat Orang Asli bukan sahaja sokongan tetapi kesetiaan kerana mereka tahu kita sentiasa memberikan perhatian dan cuba sedia upaya untuk membangunkan mereka.
“Jadi sebab itu, kita harap, mereka terus memberikan sokongan kepada calon BN daripada Kerajaan Perpaduan ini supaya terus dapat berbuat kebajikan, ada kesinambungan,” katanya.
Beliau ditemui pemberita pada Program Gerakan Koperasi Santuni Masyarakat Orang Asal Negeri Perak anjuran Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) di Pejabat Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Batang Padang Dan Muallim Perak di Jalan Stesen, Kampung Lubok Katak di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed dan Pengerusi SKM, Leftenan Jeneral (B) Datuk Ahmad Norihan Jalal.
Terdahulu, Menteri Besar Perak itu menyampaikan bakul makanan tajaan SKM kepada sebahagian daripada 217 penerima masyarakat Orang Asli sekitar Batang Padang yang merangkumi barangan keperluan asas seperti minyak masak, gula, garam, beras dan serbuk kopi.
Terdapat 2,156 pengundi masyarakat Orang Asli bagi PRK DUN Ayer Kuning.
Saarani berkata, wakil rakyat UMNO sebelum ini di Ayer Kuning tidak pernah melupakan Orang Asli.
“Kita dulu di Ayer Kuning ini, bekas ADUN Ayer Datuk Samsudin Abu Hassan dan Allahyarham Ishsam Shahrudddin memang turun padang.
“Jadi trendnya, kita wakil rakyat BN ini tidak akan lupakan dan percaya wakil rakyat baharu daripada BN akan terus memberikan perhatian kepada masyarakat Orang Asli,” katanya.
Berhubung calon BN pada PRK Ayer Kuning, Saarani berkata, keputusan muktamad itu ditangan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang kini berada di Mekah.
“Presiden sekarang berada di Mekah jadi kemungkinan dia sembahyang (solat sunat) istikharah untuk mendapat panduan, pedoman daripada Allah SWT.
“Dia (beliau) balik nanti akan umum pada 7 April insya-Allah di Pusat Arahan (Command Centre) di Rancangan Perumahan Tersusun (RPT), Kampung Haji Tahir, Temoh.
“Kita akan lancarkan jentera (BN) dan pengumuman calon daripada Presiden sendiri,” katanya. – UTUSAN