Optimus Hub latih murid berkeperluan khas berniaga

Optimus Hub latih murid berkeperluan khas berniaga

KUMPULAN pelajar UKM bersama murid-murid berkeperluan khas membina Optimus Hub di SK Bandar Rinching, Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sekumpulan pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) membina pusat sehenti aktiviti pertanian dan perniagaan, Optimus Hub bagi membantu murid berkeperluan khas (MBK) mendapat kemahiran dalam bidang itu.

Projek rintis berkenaan digerakkan kumpulan pelajar Pusat Pengajian Siswazah Perniagaan UKM-GSB dikenali Wings of Entrepreneur (W.E) yang dilaksanakan bersama lebih 30 murid MBK di Sekolah Kebangsaan Bandar Rinching, Selangor.

Wakil W.E memaklumkan, inisiatif tersebut sebagai satu bentuk pendedahan memberikan murid-murid berkenaan peluang berdikari dalam kehidupan seharian.

Katanya, projek ini terdiri daripada tiga fasa utama iaitu latihan pertanian (penanaman kentang), jualan kentang goreng dan pusat Optimus Hub untuk latihan perniagaan secara praktikal.

“Sebelum projek ini bermula, kebanyakan pelajar MBK kurang pendedahan kepada kemahiran keusahawanan dan pertanian. Namun, selepas projek ini dijalankan, lebih 30 pelajar berjaya mendapat latihan intensif dalam penanaman kentang dan pengurusan jualan kentang goreng.

“Dengan pelaksanaan Optimus Hub, pelajar kini mempunyai ruang latihan yang lebih praktikal untuk memahami konsep asas perniagaan dan interaksi pelanggan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurut kumpulan itu, dengan jumlah tajaan dana sekitar RM30,000 daripada syarikat-syarikat korporat, projek itu turut mendapat kerjasama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) sekolah melalui kutipan dana serta penyediaan sumber tambahan.

Jelasnya, impak pelaksanaan projek, lebih 95 peratus daripada mereka menyatakan terdapat peningkatan untuk berani berkomunikasi dan berinteraksi dengan pelanggan.
“Projek ini berpotensi menjana pendapatan sekitar RM1,500 daripada jualan kentang goreng dan RM800 sebulan daripada operasi Optimus Hub.

“Selain itu, projek ini turut berjaya mengurangkan stigma masyarakat terhadap kebolehan pelajar berkeperluan khas melalui penyertaan aktif dalam perniagaan kecil-kecilan,” katanya.

Bagi memastikan kesinambungan projek, beberapa cadangan dirangka termasuk bekerjasama dengan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN Nasional) untuk mendapatkan pembiayaan mikro serta mengembangkan model projek ini ke sekolah-sekolah lain di bawah program PPKI.

Katanya, projek ini bukan sahaja membuktikan bahawa pelajar MBPK mampu berdikari, malah menjadi contoh terbaik bagaimana pendidikan khas boleh diterapkan dengan elemen keusahawanan bagi memberi mereka peluang cerah dalam dunia pekerjaan dan perniagaan di masa hadapan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya