Operasi pentadbir pihak ketiga perlu dikawal

Operasi pentadbir pihak ketiga perlu dikawal

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

PETALING JAYA: Bank Negara Malaysia (BNM) dan Kementerian Kesihatan (KKM) perlu campur tangan dan segera memainkan peranan lebih proaktif dalam mengawal selia operasi pentadbir pihak ketiga (TPA) yang kini beroperasi tanpa sebarang kawalan.

TPA yang merupakan orang tengah dalam menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan turut bertindak menentukan harga rawatan hingga mengakibatkan kos rawatan di sektor swasta meningkat.

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Datuk Dr. Kalwinder Singh Khaira berkata, selain menentukan harga rawatan, TPA juga melambatkan pembayaran, mengenakan beban pentadbiran tidak munasabah yang akhirnya meningkatkan kos kepada doktor dan pesakit.

“Kelewatan dalam pemprosesan tuntutan insurans serta keperluan prakelulusan yang berlebihan oleh syarikat insurans turut menjejaskan akses pesakit kepada rawatan segera, terutama bagi penyakit kritikal.

“MMA berpandangan harus ada kawal selia lebih ketat oleh BNM bagi memastikan rawatan yang sepatutnya diberikan kepada individu yang memiliki insurans tidak tertangguh atau dinafikan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sebagai langkah penyelesaian, Dr. Kalwinder Singh berkata, MMA mahu kerajaan segera melaksanakan reformasi dalam sektor perkhidmatan kesihatan swasta bagi menyelesaikan isu kritikal yang memberi kesan kepada pakar perubatan dan pengamal perubatan am, kelestarian fasiliti, kos rawatan serta ekosistemnya secara menyeluruh.

Katanya, pihaknya berpandangan, peningkatan kos rawatan di hospital swasta bukanlah berpunca daripada yuran profesional doktor kerana ia dikawal oleh Jadual Ke-13 KKM, sebaliknya dipengaruhi oleh perkhidmatan dan bekalan hospital (HSS).

“Kebanyakan pakar perubatan swasta masih berdepan tekanan untuk mengurangkan kadar caj mereka, secara langsung atau tidak, yang akhirnya boleh menjejaskan kualiti dan kelangsungan perkhidmatan rawatan.

“MMA mendapati terdapat kelemahan dalam perlindungan insurans kesihatan swasta (PHI), di mana banyak polisi insurans tidak merangkumi rawatan moden seperti imunoterapi dan terapi sasaran.

“Akibatnya, pesakit sering berada dalam keadaan serba salah dan terpaksa mendapatkan rawatan sebahagian di hospital swasta sebelum berpindah ke hospital kerajaan disebabkan had kewangan dan sekatan polisi, yang seterusnya mengganggu kesinambungan rawatan perubatan mereka,” katanya.

Ujarnya, MMA turut menekankan, sistem klasifikasi pesakit mengikut diagnosis (DRG) yang kononnya merupakan penyelesaian kepada peningkatan kos rawatan perlu dikaji dengan lebih teliti sebelum dilaksanakan.

“MMA meneliti pelaksanaan DRG di beberapa negara dan mendapati jika sistem ini tidak dikaji dan dilaksanakan dengan baik, ia boleh menyebabkan kegagalan.

“Negara yang berjaya mengaplikasikan DRG adalah mereka yang mempunyai sistem insurans kesihatan nasional dan pelaksanaannya dilakukan secara berperingkat.

“Malaysia perlu mengambil pengajaran daripada pengalaman negara lain bagi menentukan pendekatan paling sesuai jika ingin menerapkan sistem DRG atau versi yang seumpamanya,” katanya.

Dr. Kalwinder Singh turut membangkitkan isu berkaitan caj konsultasi pengamal perubatan am (GP) di klinik swasta yang masih belum menemui jalan penyelesaian, meskipun telah lama diperkatakan.

“Penjagaan kesihatan primer adalah komponen penting dalam ekosistem kesihatan negara. MMA berharap penyelesaian berkaitan caj konsultasi GP klinik swasta dapat dicapai dalam tahun ini,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya