PETALING JAYA: Dewan Banda raya Kuala Lumpur (DBKL) menggempur Bazaria Wangsa Maju dekat sini dalam Op Gasak Siri 1/2025 bagi membanteras aktiviti perniagaan dan penjajaan tanpa lesen serta tidak memenuhi syarat.
DBKL memaklumkan, enam gerai dan penjaja tanpa lesen telah dikenakan tindakan kompaun manakala 12 tindakan sitaan diambil terhadap penjaja warga asing.
“Selain itu, lima gerai ditutup serta-merta serta dua kes penundaan trak makanan yang dikendalikan oleh warga asing.
“Dalam operasi sama, Jabatan Imigresen turut menjalankan pemeriksaan terhadap warga asing dengan 35 orang ditahan kerana didapati melakukan kesalahan tidak memiliki dokumen sah atau menyalahgunakan permit kerja,” katanya dalam kenyataan.
Selain itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengeluarkan tiga kompaun terhadap gerai yang disyaki melanggar peraturan perdagangan serta berkaitan isu hak cipta dan barangan tiruan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.
“Penjaja yang melanggar syarat lesen dikenakan tindakan penguatkuasaan di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974; Undang-undang Kecil (UUK) Pelesenan Penjaja (WPKL) 2016; UUK Petempatan Makanan (WPKL) 2016 dan UUK Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (WPKL) 2016,” katanya. – UTUSAN