PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyita sebanyak 61 akaun bank melibatkan nilai kira-kira RM15 juta berkait kes premis memproses sisa elektronik (e-waste) haram dalam Op X, baru-baru ini.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya, setakat ini, sejumlah 26 tangkapan telah dibuat termasuk pemilik dan pengarah syarikat serta sembilan pegawai penguat kuasa.
“Kita percaya bahawa pegawai penguatkuasa yang kita tangkap ini bertindak melindungi pusat-pusat pengumpulan e-waste tersebut.
“Sebanyak 61 akaun bank telah pun kita sita melibatkan lebih kurang RM15 juta dan siasatan masih lagi berjalan,” katanya menerusi sidang akhbar di Ibu Pejabat SPRM di sini hari ini.
Ahmad Khusairi berkata demikian ketika ditanya berhubung perkembangan operasi bersepadu yang dijalankan bersama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS).
Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya mengenal pasti terdapat rangkaian antara kilang memproses sampah e-waste yang diserbu di Segamat, Johor dan Telok Panglima Garang, Selangor.
“Salah satu daripada syarikat itu iaitu tempat pengumpulan memang ‘interrelated’,” ujarnya.
Katanya lagi, SPRM juga akan bekerjasama dengan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman berhubung isu e-waste ini.
Pada 24 Februari lepas, media melaporkan pemilik syarikat serta pegawai dagang antara 16 individu ditahan SPRM di Johor dan Selangor untuk siasatan kes rasuah penguat kuasa membabitkan kegiatan memproses serta melupuskan e-waste.
Op X itu dilaksanakan SPRM JIM dan JAS ke atas 12 premis. – UTUSAN