KOTA KINABALU: Sebanyak 34 notis dikeluarkan atas pelbagai kesalahan yang dilakukan oleh peniaga bazar Ramadan di seluruh Sabah.
Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Dr Maria Suleiman berkata, jumlah kompaun yang terlibat adalah RM5,200.
Beliau berkata, kesalahan paling banyak direkodkan adalah pakaian pengendali yang tidak mematuhi peraturan ditetapkan yang membabitkan 16 notis
Selain itu, 11 kesalahan melibatkan tiada sijil latihan pengendali makanan, lima kesalahan berhubung suntikan anti tifoid dan dua kesalahan pemilik gagal kemukakan dokumen Sekolah Latihan Pengendalian Makanan (SLPM) dan suntikan.
“Daerah-daerah yang telah mengeluarkan kompaun kesalahan adalah Kota Marudu (10), Sandakan (7), Semporna (4),Kuala Penyu (3), Nabawan (3), Papar (2), Keningau (2), Lahad Datu (2) dan Kinabatangan (1).
“Kesalahan-kesalahan yang dilakukan di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009, kesalahan Peraturan 33 (kebersihan diri pengendali makanan). Jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun,” katanya semasa tinjauan mesra di Bazar Ramadan Lintasan Deasoka, hari ini.
Maria berkata, sehingga hari ini, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) telah menggerakkan seramai 682 penguatkuasa untuk memantau penyediaan dan kebersihan makanan di 91 lokasi Bazar Ramadan seluruh negeri.
Bilangan premis Ramadan yang telah diperiksa adalah sebanyak 1152 buah premis daripada 17 daerah yang membabitkan seramai 2,393 orang pengendali makanan di bazar Ramadan telah diperiksa. – UTUSAN