KEMAMAN: Datuk Seri Anwar Ibrahim meluangkan masa kira-kira 25 minit mengunjungi Bazar Ramadan Jalan Padang di sini, sempena lawatan Perdana Menteri ke Terengganu, hari ini.
Sebaik sahaja tiba sekitar pukul 6.30 petang, beliau disambut meriah oleh pengunjung daripada pelbagai lapisan usia yang teruja bertemu dan bersalaman dengannya.
Dalam tinjauan mesra itu, Perdana Menteri melawat gerai-gerai di bazar berkenaan selain beramah mesra dengan penjual dan pembeli.
Beliau juga dilihat membeli beberapa juadah berbuka puasa seperti onde-onde dan popia basah.
Antara pemimpin lain yang kelihatan turut bersamanya ialah Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.
Selepas selesai mengadakan tinjauan, beliau bergerak ke Masjid Sultan Ahmad yang terletak berdekatan bazar itu untuk menghadiri Majlis Berbuka Puasa Madani Peringkat Negeri Terengganu.
Terdahulu, beliau menyertai Mesyuarat Khas Pembangunan Terengganu bagi meninjau pembangunan negeri ini di Intan Kampus Wilayah Timur (Intim) di sini. – UTUSAN