BALIK PULAU : Ketua Wanita PKR Pulau Pinang, Nurhidayah Che Rose mengumumkan hasratnya untuk bertanding bagi jawatan Ketua Wanita PKR Cabang Balik Pulau pada pemilihan parti itu Mei depan.
Menurut Nurhidayah, niatnya bertanding adalah untuk membantu rakyat, khususnya dalam memastikan agenda pemerkasaan wanita terus diperjuangkan terutamanya di kawasan Parlimen Balik Pulau.
Katanya, pemerkasaan wanita bukan sekadar slogan, tetapi satu perjuangan yang perlu dilaksanakan dengan tindakan nyata.
“Justeru, saya menawarkan diri dengan niat ikhlas, usaha jitu dan kesetiaan kepada parti. Dengan doa dan sokongan anggota parti, saya berharap dapat membawa nafas baharu kepada Wanita Keadilan Balik Pulau,” katanya di sini, hari ini.
Selain pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Wanita PKR Pulau Pinang dan Pegawai Khas kepada Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek; Nurhidayah juga pernah bertanding bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap dalam kawasan Parlimen Nibong Tebal pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang 2023.
Bagaimanapun, beliau tewas kepada calon Perikatan Nasional (PN) ketika itu iaitu Allahyarham Nor Zamri Latiff dalam saingan satu lawan satu dengan majoriti 1,563 undi.
Ketika ini, Nurhidayah berkhidmat sebagai Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) selepas satu penggal memegang jawatan sebagai Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) sebelum ini.-UTUSAN