ALOR SETAR: Keadaan tidak menentu menimpa pemain pasukan bola sepak Kedah Darul Aman (KDA) FC yang tidak menerima gaji hampir setahun mendapat perhatian tiga pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
NGO berkenaan iaitu Rangkaian Anak Darul Aman Se Malaysia (RADA), Anak Darul Aman (Adam) dan Pertubuhan Sukarelawan Rakyat Aman (Suara) mengambil inisiatif melancarkan Tabung Sumbangan Aidilfitri.
Pengerusi RADA, Datuk Romli Ishak berkata, kutipan yang sudah mencecah RM40,000 setakat ini bukan sahaja akan diagihkan kepada pemain terjejas tetapi turut diberikan kepada barisan kejurulatihan dan pengurusan pasukan itu.
“Tabung ini diwujudkan bagi memastikan kebajikan para pemain terus terbela terutamanya dalam menyambut bulan Syawal.
“Sumbangan yang dikumpulkan akan disalurkan secara langsung kepada pemain dan pegawai yang memerlukan, sebagai tanda penghargaan atas jasa pengorbanan mereka dalam mengangkat martabat bola sepak negeri Kedah,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Sebelum ini, KDA FC yang bersaing dalam Liga Super berhadapan kemelut kewangan yang meruncing sehingga menyebabkan tunggakan gaji melebihi 10 bulan.
Romli berkata, pihaknya terpanggil untuk menggerakkan kutipan itu selepas mendengar sendiri keluhan sebahagian pemain dan pegawai pasukan itu dalam pertemuan baru-baru ini.
“Antara penyumbang setakat ini adalah Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang menghulurkan sumbangan peribadi berjumlah RM20,000 dan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil sebanyak RM10,000.
“Sumbangan ini bagi membolehkan para pemain dan pegawai pasukan KDA FC melakukan persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi,” katanya.
Romli berkata, pihaknya mengajak semua penyokong setia Hijau Kuning, pihak korporat, NGO serta orang ramai yang berkemampuan untuk sama-sama menyumbang ke dalam tabung itu.
Katanya, sumbangan yang bermula hari ini sehingga 25 Mac boleh dilakukan menerusi akaun CIMB bank milik Suara bernombor 8603566015 yang dirujuk ‘Tabung Sumbangan Aidilfitri Bola Kedah’. – UTUSAN