SEREMBAN: Susulan kekerapan kejadian kemalangan melibatkan kenderaan berat di sekitar kawasan Nilai kebelakangan ini yang turut menyebabkan kehilangan nyawa, beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mendesak supaya Kementerian Pengangkutan mengambil tindakan tegas dan segera bagi menanganinya.
NGO terbabit terdiri daripada Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Daerah Nilai, Pertubuhan Jaringan Komuniti Negeri Sembilan (PJKN9), Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Nilai; Pewaris Negeri Sembilan dan Pertubuhan Kebajikan Muafakat Nilai.
Wakil mereka yang juga Pengerusi MCPF Daerah Nilai, Datuk R. Segar berkata, isu kemalangan membabitkan kenderaan berat bukan baru dibangkitkan malah sering disuarakan banyak pihak yang bimbang dengan keselamatan pengguna jalan raya.
“Memang benar ‘malang tidak berbau’ tetapi kemalangan juga mampu dicegah jika segala aspek keselamatan pemanduan dan penyelenggaraan kenderaan diambil kira disamping tindakan penguatkuasaan berkala dilakukan.
“Kami tidak membantah sebarang pembangunan yang sedang dijalankan di sini namun pergerakan lori perdagangan yang semakin bertambah mendatangkan kebimbangan ramai.
“Kemuncaknya apabila berlaku beberapa kejadian kemalangan maut di laluan sama
yang melibatkan kenderaan perdagangan selang beberapa hari dan kami tidak mahu kejadian seumpama ini berulang kembali,” katanya kepada pemberita hari ini.
Beliau menambah, justeru kesemua NGO terlibat telah bersepakat supaya tindakan tegas harus diambil oleh kerajaan menerusi Kementerian Pengangkutan supaya kadar kemalangan jalan raya dapat dikurangkan di sini,” katanya.
Segar memberitahu, bagi mengatasi dan mencegah kemalangan terus berlaku, pihaknya mencadangkan supaya dilaksanakan waktu operasi kenderaan berat pada waktu puncak.
“Waktu yang dicadangkan adalah dari pukul 9. 30 pagi hingga 4.30 petang. Selain itu papan tanda peringatan di lokasi-lokasi yang berisiko berlakunya kemalangan juga perlu ditambah,” katanya.
Ujar beliau, pihak NGO terlibat juga berhasrat mahu menghantar memorandum kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook supaya gesaan tersebut diambil perhatian serius.
Sabtu lalu, media melaporkan seorang lelaki maut selepas kereta dipandunya terbabit kemalangan dengan sebuah lori di Jalan Persiaran Negeri di sini.
Kejadian itu berlaku pada jarak lebih kurang 400 meter daripada lokasi kejadian kemalangan membabitkan dua buah lori dan dua buah kereta yang turut menyebabkan kematian seorang wanita pada 26 Februari lalu. – UTUSAN