Nelayan dari Thailand raih RM100 sehari dengan mengemis

Nelayan dari Thailand raih RM100 sehari dengan mengemis

MOHD. Halimie Md. Salleh (kiri) menyoal siasat Omardin semasa Op Bersih Ramadan di Masjid Jamek Muhammadi, Kota Bharu, Kelantan hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Seorang nelayan dari Pattani, Thailand yang ditangkap anggota Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) menerusi Op Bersih Ramadan kerana mengemis di Masjid Jamek Muhammadi di sini, hari ini mendedahkan dia pernah meraih RM1,000 hasil aktiviti mengemis sepanjang 10 hari terakhir Ramadan, tahun lalu.

Mahu dikenali sebagai Omardin, katanya, wang itu diperoleh hasil sikap pemurah orang ramai yang berkunjung ke masjid berkenaan untuk menunaikan solat berjemaah.

Katanya, ini merupakan Ramadan tahun kedua dia ke Kelantan untuk mengemis dan meminta sedekah di sekitar Masjid Jamek Muhammadi pada 10 hari terakhir Ramadan.

“Sebelum ini, saya mendapat RM1,000 sepanjang 10 hari atau RM100 sehari dengan meminta sedekah di sini. Wang derma i digunakan untuk persekolahan dua anak berusia sembilan dan 16 tahun di Pattani. Isteri saya di sana tidak bekerja dan dia menjaga anak-anak di rumah,” katanya ketika ditemui semasa operasi berkenaan. 

Omardin berkata, dia bekerja sepenuh masa sebagai nelayan di Pattani dan hanya datang ke Kota Bharu dengan bermodalkan wang sebanyak RM50 untuk meminta sedekah semasa Ramadan.

Sementara itu, Ketua Bahagian Penguat Kuasa MPKB-BRI, Mohd. Halimie Md. Salleh berkata, seramai 11 pengemis termasuk empat warga Thailand dicekup di lapan lokasi di kawasan bank, masjid dan taman di sekitar bandar Kota Bharu sepanjang empat jam operasi dijalankan.

Menurutnya, siasatan awal mendapati, pengemis dari Thailand dibawa oleh ejen yang mengatur pergerakan dan lokasi mereka untuk meminta sedekah.

“Kebiasaannya, ejen yang merupakan warga tempatan membuat pembahagian hasil derma iaitu 70 peratus kepada mereka dan 30 peratus kepada pengemis. Pengemis dari Thailand ini juga didapati menyalahgunakan pas lawatan sosial apabila mereka memiliki pasport atau pas sempadan sah, namun datang ke negara ini untuk meminta sedekah,” katanya. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya