SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan bersedia membawa semula usul mengehadkan tempoh jawatan Menteri Besar kepada dua penggal.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, perkara berkenaan pernah dibawa ke Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), namun ditolak.
“Sebelum ini perkara tersebut pernah dibawa ke DUN, namun ditolak kerana tidak mendapat sokongan dua pertiga dan sekali gus terbatal.
“Sekiranya perlu kita boleh bawa semula ke dewan untuk mengehadkan jawatan Menteri Besar kepada dua penggal atau 10 tahun. Setakat ini tiada siapa mencadangkan lagi,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Negeri di sini, semalam.
Aminuddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sikamat dilantik sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan selepas Pakatan Harapan (PH) menang di negeri ini pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 2018.
Pengerusi PH Negeri Sembilan itu sekali lagi dilantik sebagai Menteri Bear untuk penggal kedua selepas PH dan Barisan Nasional (BN) yang membentuk kerjasama Kerajaan Perpaduan menang sebanyak 31 kerusi DUN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2023.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersetuju dengan cadangan untuk mengehadkan tempoh sebagai perdana menteri kepada 10 tahun atau dua penggal sahaja.
Perdana Menteri berkata, jika cadangan itu mendapat sokongan dua pertiga daripada ahli Parlimen, ia boleh diusul di Dewan Rakyat supaya Perlembagaan Persekutuan dipinda.
Sementara itu, Aminuddin berkata, penggunaan jumlah katil di Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS) ketika ini berada pada tahap kritikal kerana mengalami kekurangan sebanyak 188 buah katil.
Jelasnya, justeru terdapat keperluan mendesak untuk pembinaan Hospital Tuanku Ja’afar Seremban yang kedua.
“Secara keseluruhannya, sejumlah 1,143 buah katil sedia ada di HTJS, dan apabila berlaku pengubahsuaian berlaku kekurangan katil sehingga 188 buah. Bagi kita jumlah kekurangan itu sangat kritikal,” katanya. – UTUSAN