SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan melancarkan tabung bagi pembangunan apartmen menerusi projek pembangunan Bandar Wakaf Malaysia-Gaza.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, pihaknya menyasarkan kutipan sebanyak RM4.5 juta untuk tabung berkenaan di mana sejumlah RM1 juta akan disalurkan segera kepada Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) untuk kerja-kerja awal.
Beliau berkata, justeru pelancaran tabung berkenaan dilihat menjadi satu peluang buat rakyat di negeri ini untuk
membantu dalam pembangunan semula Gaza.
“Rasa kasih, rasa sedih, rasa sayu harus kita terjemahkan sebagai kesungguhan kita untuk sama-sama menyumbang walaupun sedikit. Kita sumbang sebenarnya (adalah) bagi memastikan pembangunan Palestin itu dapat kita segerakan.
“Oleh itu, kita harap dapat kutip lebih (RM4.5 juta) daripada itu. Kita bukan sahaja mahu sediakan kemudahan apartmen wakaf yang dirancang tetapi yang penting sama-sama menyumbang dalam bandar baharu itu nanti,” katanya,” pada Majlis Pelancaran Tabung Apartmen Wakaf Negeri Sembilan di Masjid Negeri, di sini semalam.
Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Mapim yang juga Pengasas Projek Bandar Wakaf Malaysia-Gaza, Datuk Sani Araby Abdul Halim Araby.
Sementara itu, Sani Araby berkata, pihaknya menjangkakan projek yang dianggarkan bernilai RM120 juta tersebut dengan tanah wakaf seluas 35 hektar di Gaza dapat dimulakan secepat mungkin.
Menurutnya, projek itu dilaksanakan dengan kerjasama semua pihak melibatkan pembangunan 14 blok apartmen wakaf yang mewakili setiap negeri di Malaysia termasuk Negeri Sembilan.