PADANG RENGAS: Kerajaan Pusat tidak meminggirkan negeri-negeri pembangkang dan sentiasa terbuka menyelesaikan isu yang dibangkitkan, kata Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim.
Beliau menegaskan, tindakan terbaru kerajaan menunjukkan pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mengetepikan empat negeri pembangkang (SG4).
“Pemimpin Perikatan Nasional (PN) tidak seharusnya menyalahkan pihak lain untuk menutup kelemahan kepimpinan mereka yang semakin tidak relevan,” katanya dalam Majlis Iftar Perdana serta serahan sumbangan Kasih Madani Aidilfitri peringkat Parlimen Padang Rengas.
Kamil turut merujuk pertemuan Menteri Besar Kelantan dengan Perdana Menteri bagi mempercepatkan projek tebatan banjir di negeri itu.
“Banjir memberi kesan kepada penduduk dan pelabur. Jika dapat diselesaikan, ia akan membantu pertumbuhan ekonomi,” katanya.
Beliau turut menegaskan lebih 14,000 penjawat awam Terengganu bakal menerima Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri hasil persetujuan Kerajaan Madani.
Beliau bersama Datuk Seri Nazri Aziz turut menyampaikan sumbangan RM200,000 kepada 1,000 penerima sebagai persiapan Hari Raya. – UTUSAN