Negara musnah jika cuba jadi ‘hero’ kaum sendiri

Negara musnah jika cuba jadi ‘hero’ kaum sendiri

ANWAR Ibrahim hadir ke Majlis Pecah Tanah Pembangunan Masjid Madani di Jalan Munshi Abdullah, Kuala Lumpur. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Negara akan musnah sekiranya semua pihak cuba menjadi wira atau ‘hero’ kaum sendiri tanpa mengira peruntukan undang-undang, kebenaran atau kepalsuan sesuatu isu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan muktamad mengenai pembinaan Masjid Madani di Jalan Munshi Abdullah di sini, dibuat selepas beliau memperoleh laporan penuh daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

Tegasnya, Malaysia perlu terus menjadi sebuah negara yang aman dan mampu menyelesaikan pertikaian dan permasalahan antara kumpulan dengan kaedah yang baik.

Katanya, ini kerana negara yang aman sahaja dapat memastikan keselamatan masyarakat terjamin.

“Jika semua hendak menjadi hero kaum sendiri, rosak negara ini. Hendak menjadi pemimpin Malaysia tetapi bercakap bagi pihak (tertentu) dan pertahankan sentimen benci kaum tanpa mengira hukum, benar atau palsu. Hak itu bersandarkan hukum.

“Orang datang berniaga, melabur, di keliling ini ramai orang asing. Sebab apa? Sebab negara ini aman. Mengehadkan dan cuba menghapuskan kegiatan jenayah, supaya orang boleh berjalan (pada waktu) malam dengan rasa selamat. Keamanan itu harus kita pupuk.

“Saya tahu kadang-kadang reaksi daripada beberapa kalangan, baik daripada kelompok Islam atau Hindu yang agak melampau, tidak peduli, lontarkan (suara) di media sosial tanpa memikirkan adakah perkara itu atau faktanya benar,” katanya ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Pembangunan Masjid Madani, hari ini.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar.

Masjid Madani seluas 12,142 kaki persegi akan dibina dengan empat tingkat yang dianggarkan boleh menampung sekitar 2,900 jemaah dalam satu-satu masa.

Pusat ibadah yang dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh dua tahun itu bakal dilengkapi dengan pelbagai kemudahan termasuk dewan acara, pejabat serta kemudahan-kemudahan asas lain. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya