PETALING JAYA: Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) berjaya merealisasikan pelaburan sebanyak RM64.7 bilion sekaligus mewujudkan lebih daripada 14,000 peluang pekerjaan untuk tahun 2024.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pencapaian ini telah meneruskan momentum peningkatan realisasi pelaburan di bawah NCER untuk tempoh tiga tahun berturut-turut iaitu RM31.29 bilion (2022) dan RM41.45 bilion (2023).
Beliau berkata, pencapaian ini dilaporkan dalam Mesyuarat Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) Ke-33 yang dipengerusinya petang ini.
“Selari dengan kedudukan wilayah utara sebagai hab utama bagi industri semikonduktor berteknologi tinggi negara, mesyuarat telah membincangkan terkait pembangunan fabrikasi iaitu Advanced Packaging (AP) yang akan menyokong ekosistem High Value Manufacturing (HVM).
“Untuk itu melalui program NCER Technology Innovation Centre (NTIC), NCER akan memperkenalkan Advanced Packaging Institute and Research Centre (APIRC) yang berperanan sebagai Pusat Kecemerlangan (CoE) untuk memajukan teknologi, pembangunan bakat dan pengukuhan ekosistem tempatan untuk AP di rantau ini,” katanya.
Tambah Anwar, mesyuarat itu turut membincangkan peranan NCIA di dalam pembangunan ekosistem bakat dalam konteks pelbagai industri.
“Saya tekankan kepentingan kerjasama dan penyelarasan menyeluruh antara agensi, Syarikat Berkaitan Kerajaan dan pemain industri dalam usaha mengukuhkan program-program peningkatan kemahiran dan intervensi strategik,” katanya. – UTUSAN