PUTRAJAYA: Orang Melayu di bandar akan menerima nasib seperti orang Melayu di Singapura jika Rang Undang-undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (URA) dilaksanakan kelak.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, beliau tidak menolak sebarang pembaharuan, namun usah sesekali meminggirkan penduduk asalnya.
“Sebagai contoh, tiada lagi Kampung Melayu di Singapura selepas diambil oleh pemaju, malah penempatan orang Melayu pula dipecahkan supaya mereka tidak dapat bersatu.
“Kononnya kita (Malaysia) nak ambil contoh Singapura, dulu Singapura ada Kampung Melayu, sekarang tak ada. Inilah yang akan berlaku di Malaysia jika jadikan Singapura sebagai contoh,” katanya dalam sidang akhbar bersama penduduk Kampung Sungai Baru, Kuala Lumpur di sini, hari ini.
Tambah Dr. Mahathir, jika isu tanah di Kampung Sungai Baru gagal diselesaikan, bagaimana kerajaan dapat memberi jaminan bahawa nasib orang Melayu di negara ini terbela.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan penggubalan URA tidak akan memberi kuasa kepada kerajaan untuk mengusir mana-mana pemilik harta asal, tanpa mengira etnik.
Menurutnya, tidak akan ada peruntukan di bawah RUU berkenaan yang membenarkan pengusiran pemilik harta bandar.
Penduduk asal Kampung Sungai Baru dilaporkan tidak akan terpinggir dalam projek pembangunan semula kawasan tersebut, malah akan diberi tawaran menarik seperti rumah gantian, bayaran pampasan serta kemudahan oleh pemaju.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa berkata, pemaju telah menawarkan beberapa bentuk insentif kepada pemilik tanah dan unit flat yang terlibat, termasuk unit gantian berkeluasan 969 hingga 1,200 kaki persegi.
Pemilik unit flat akan menerima rumah gantian dengan nilai anggaran antara RM884,000 hingga RM1 juta, manakala pemilik lot teres bakal menikmati antara tiga hingga sembilan unit rumah gantian, dengan nilai tawaran antara RM2.7 juta hingga RM8.1 juta, selain lebihan bayaran tunai. – UTUSAN